11.19.2008

Janganlah Lalai...




Janganlah Lalai…

Kehidupan yang sementara ini, andainya kelalaian yang menjadi pilihan, nescaya setelah ia berlalu pergi, yang tinggal hanyalah penyesalan. Lihatlah ke dalam dirimu, dari mana asal usulmu. Hakikat tidak dapat dinafikan, bahawa sesiapa yang kenal hakikat diri yang diciptakan, pasti merasai kehadiran Dia yang menciptakan.



Namun, yang lalai terus lalai, kerana tidak mahu memilih untuk sedar dari kelalaian. Ambillah waktu barang sesaat dua, untuk merenungi hakikat diri yang berasal daripada “tiada”, lalu diadakan oleh kasih sayangNya, namun dengan kasih sayang itulah kita akhirnya melupainya.

Siapa sangka, dunia ini hanya sementara…

Semua orang yang terus leka, tanyakan kepada mereka, adakah mereka tahu kehidupan dunia hanya untuk seketika? Kalau jawapan mereka: “Ya, kami tahu dunia ini sementara”, namun bagaimana secara realitinya, memberi jawapan yang berbeza. Bukankah orang yang tahu bahawa dia hanya singgah di suatu tempat, akan bersiap untuk berangkat, dan tidak lalai di persinggahan yang tempohnya singkat?

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan, bahawa kita hidup di dunia ini sebagai perantau yang mengumpul bekalan, atau sekadar selaku pengembara yang singgah berehat di bawah pohonan. Janganlah lupa akan pesan Junjungan.

Kita yang semakin hari semakin mengumpul dosa yang menggunung, bagaimana layak untuk pulang ke hadrah Allah yang Maha Agung. Amalan yang dilakukan pun masih banyak yang perlu ditampung sedangkan usia kita semakin menuju angka “kosong”. Bagaimana saban hari kita terus sombong dengan hakikat bahawa kita di dunia ini sekadar menumpang?

Hidup ini tempat kita menunaikan kehambaan kita kepada Tuhan s.w.t.. Percayalah duhai teman, kematian itu bukanlah suatu fantasi atau cerita dongengan. Janganlah berdolak-dalih dengan nafsu yang menyesatkan, tatkala kita melihat saban hari jenazah dikebumikan. Ke mana mahu lari wahai diri yang penuh kehinaan. Tidak cukupkah dengan kelalaian demi kelalaian.

Allah s.w.t. sentiasa memberi para hambaNya akan peluang untuk kembali kepadaNya. Allah s.w.t. sering menyampaikan pesan dan mengetuk pintu hati manusia yang terleka agar kembali mengingatiNya. Allah s.w.t. sentiasa menjanjikan keampunan kepada sesiapa sahaja yang ingin bertaubat kepadaNya biarpun membawa segunung dosa. Nah, ianya terpulang kepada kita, samada untuk terus leka, atau mula melangkah menujuNya.

Kita lihatlah sahaja di segenap ruang dunia. Yang datang dan pergi silih berganti. Dalam satu hari, ada yang lahir dalam masa yang sama ramai pula yang pergi. Carilah Allah dalam pertukaran malam dan siang dan dalam peredaran masa dan hari. Nascaya hati kecilmu akan memberi isyarat halus, bahawasanya DIALAH ALLAH, yang sentiasa berintarksi denganmu melalui segenap alam ini.

Hidup ini, impian yang pasti adalah untuk kembali kepada Tuhan semesta alam ini. Tugas yang hakiki adalah untuk meralisasikan makna kehambaan dalam diri. Kalau anda fahami makna ungkapan ini, maka, langkahkanlah kaki dengan langkah yang murni. Tumpukan sepenuh hati hanya kepada Ilahi. Semoga dengan ini, kita dirahmati oleh Ar-Rahman Al-Qowiy.

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qadir…

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi

‘AmalahuLlahu bi althofiHi Al-Khofiyyah



9.03.2008

Hadith-hadith Tentang Keagungan Madrasah Ramadhan



Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)




Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah (umat Islam yang majoriti/sawadul a'zhom). (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)

Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

MUTIARA MENAWAN DARIPADA HADIS-HADIS KELEBIHAN RAMADHAN

1. Semua hadis menceritakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan sebagai suatu simbol kecintaan Allah s.w.t. kepada para hambaNya.

2. Janji limpahan rahmat dan keampunan yang meluas di bulan Ramadhan, merupakan antara motivasi daripada Allah s.w.t. buat para hambaNya, dalam rangka untuk memperbaiki hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t. di samping menjadi pemangkin bagi menyuntik semangat baru bagi para hambaNya untuk terus berjalan menujuNya.

3. Ramadhan menjanjikan suatu madrasah tarbiah yang bermakna buat para hamba Allah s.w.t., kerana di dalamnya, para hambaNya dapat melatih diri dalam menjaga niat dan keikhlasan kepadaNya dalam setiap amalan.

4. Hadis-hadis ini juga menceritakan tentang kepentingan keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadah, kerana amalan hanya diterima dengan niat yang ikhlas.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Begitu juga, ia mampu menghapuskan segala dosa jika seseorang bertaubat dengan taubat nasuha, seterusnya melakukan ketaatan sebagai ganti (kaffarah) bagi dosa-dosa tersebut.

6. Puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi menahan seluruh anggota daripada kemaksiatan dan kedurhakaan kepadaNya.

7. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi di sisi Allah s.w.t..

8. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai yang tersayang, dan kegembiraan apabila bertemu Allah s.w.t. kelak. Sememangnya, dalam berbuka puasa itu, kegembiraan seseorang hamba bukanlah kerana dapat memenuhi syahwat makannya setelah lama menahannya, tetapi kegembiraan hakiki seseorang hamba sewaktu berbuka puasa ialah, apabila melihat hidangan di hadapannya, dengan penuh syukur, dengan merasakan, seluruh rezeki tersebut merupakan suatu tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadaNya.


Adapun kegembiraan ketika bertemu dengan Allah s.w.t., laksana kegembiraan sang kekasih yang sentiasa menyimpan rindu untuk bertemu dengan kekasihnya, yang telah lama berjauhan di perantauan.

Semoga puasa kali ini dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam dalam usaha untuk memperbaiki hubungan diri dengan Allah s.w.t..

Wallahu a'lam...

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qadir

Ahmad Mukhlis Al-Razi Al-Azhari


8.15.2008

Taqwa: Menghimpun Segala Kebaikan


Dalam sebuah Hadith ada menyebutkan:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : يا نبي الله أوصني، فقال : "عليك بتقوى الله فإنه جماع كل خير، وعليك بالجهاد فإنه رهبانية المسلم، وعليك بذكر الله فإنه نور لك"

Seorang pemuda telah datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Wahai Rasulullah. Berilah nasihat (wasiat) kepadaku".

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya ia (taqwa itu) penghimpun segala kebaikan. Hendaklah kamu keluar berjihad kerana ia merupakan kependitaan seseorang muslim. Hendaklah kamu berzikir kepada Allah s.w.t. kerana ia merupakan cahaya buatmu". (Hadith riwayat Ibn Dhorris dalam Kanzul Ummal).


Saidina Ali k.r.w.j. berkata:

"Taqwa itu ialah, meninggalkan sikap bersenantiasa dengan maksiat, dan meninggalkan tipu daya dalam ketaatan."

Dalam perkataan Saidina Ali k.r.w.j. ini, mengandungi makna yang menunjukkan bahawa, taqwa menghimpunkan seluruh kebaikan. Sesungguhnya, sifat taqwa itu dapat dicapai dengan meninggalkan maksiat, samda dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil, serta menjaga kualiti kehambaan dalam ketaatan dengan menunaika hak-hak Allah s.w.t. dalam ibadah kita.

Antara hak-hak Allah s.w.t. dalam ibadah seseorang adalah, keikhlasan dalam beribadah, kejujuran dalam ketaatan kepadaNya, mencintaiNya lebih dari segala-galanya, tidak mengharapkan selain daripada redha Allah s.w.t. dalam ketaatan dan seterusnya merasakan segala ketaatan yang telah dilakukan adalah anugerah daripada Allah s.w.t. kepada kita, bukan kerana daya upaya kita sendiri.

Imam Al-Waqidi berkata:

"Taqwa ialah, kamu menghiasi hati (sirr) kamu untuk Allah s.w.t. sepertimana kamu menghiasi zahir kamu di hadapan makhluk."

Perhiasan hati itulah taqwa. Hal ini kerana, taqwa merupakan sebaik-baik pakaian kerana ianya berkaitan dengan hubungan seseorang dengan Allah s.w.t.. Sesungguhnya, kecantikan hati dengan ketaqwaan itulah yang meningkatkan kedudukan seseorang di sisi Allah s.w.t..


8.14.2008

Mahir Ilmu Hadith Semata-mata Tidak Cukup Untuk Berfatwa

Keinginan umat Islam kini untuk kembali kepada Islam di setiap tempat merupakan suatu khabar gembira buat kita. Ianya suatu yang jelas di setiap tempat walaupun kebanyakan daripda mereka mendapat tentangan yang hebat.

Kebangkitan Islam dapat dilihat dari pelbagai sudut terutamanya, dalam sudut penggurusan negara Islam). harta, penubuhan syarikat-syarikat Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam, penerbitan buku-buku yang membincangkan tentang pengharaman sistem riba dan sebagainya, di kebanyakan tempat (terutamanya di negara-negara Islam).

Suatu khabar gembira yang lebih bernilai ialah, kebangkitan Islam dari sudut ilmiah, iaitu, perbincangan mengenai "Seruan untuk Kembali kepada Sunnah Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam)". Begitu banyak sekali buku-buku yang diterbitkan mengenai Hadis-hadis Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) yang terkenal mahupun yang tidak terkenal.


Kebanyakan daripada buku-buku mengenai Hadis-hadis Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) tersebut, tidak disyarah dan jelaskan oleh ulama'-ulama' ahli fiqh, secara terperinci mengenainya. Oleh yang demikian, hal ini menyebabkan sebahagian pembaca yang tidak mempunyai bekalan ilmu fiqh yang mantap, ataupun yang tidak belajar dari ulama'-ulama' terlebih dahulu, akan terkeliru dan seterusnya. pemahamannya akan bercanggah dengan maksud sebenar Hadis-hadis yang dibacanya. Kemungkinan besar juga, si pembaca tersebut akan terdorong untuk mengamalkan seluruh Hadis-hadis yang dinilai sebagai Hadis-hadis Sahih oleh segolongan ahli Hadis (tanpa menilai adakah hadis-hadis itu digunakan atau tidak oleh ulama'-ulama').

Kemungkinan juga, si pembaca yang cetek ilmu tersebut, akan berkata kepada dirinya: "kami beramal dengan hadis ini untuk satu ketika, dan satu ketika yang lain, ditinggalkan hadis ini (tidak beramal dengan Hadis tersebut)". Si pembaca yang kurang ilmunya itu tidak bertanya terlebih dahulu kepada ulama'-ulama' yang khusus dalam bidang syariah yang masih hidup, mahupun membaca ulasan-ulasan pada buku-buku karangan ulama'-ulama' Muktabar yang telah tiada, mengenai Hadis-hadis yang dibacanya. seperti Fathul Bari karangan Imam Ibn Hajar Al-Asqalani, Syar Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi, dan sebagainya.

Dia juga tidak mempelajari tentang ilmu Al-Arjah (Hadis-hadis yang paling kuat untuk digunakan dalam berhujah pada masalah syariat), tidak mengetahui yang mana hadis yang diriwayatkan terlebih dahulu dan yang mana yang diriwayatkan kemudian, yang mana hadis yang khusus dan yang mana hadis yang diriwayatkan khas untuk keadaaan tertentu, yang mana ilmu-ilmu tersebut amat penting dalam memahami dan mengkaji maksud sesuatu hadis.

Kadang-kadang pembaca buku-buku Hadis, yang kurang ilmunya, apabila telah jelas sesuatu hadis, dia menyangka bahawa Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) kadang-kadang terlupa apa yang pernah Baginda (sallallahu'alaihi wasallam) pernah sabdakan, kemudian menukar perkataan Baginda (sallallahu'alaihi wasallam) yang berlainan dengan kata-kata Baginda (sallallahu'alaihi wasallam) sebelum itu, walaupun pada hakikatnya, Baginda (sallallahu'alaihi wasallam) seorang yang Ma'shum (tidak berdosa dan melakukan kesalahan). Allah s.w.t. juga pernah berfirman: (( Kami akan bacakan (beri wahyu) kepadaMu (Hai Muhammad), maka janganlah Kamu melupainya )).


Maka, para penuntut ilmu yang ingin mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. melalui hadis-hadis Baginda s.a.w. yang diriwatkan oleh para ulama' hadis dalam kitab-kitabnya, perlu juga merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama'-ulama' fiqh. Ini kerana, didalamnya terdapat adunan adunan daripada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dalam bentuk praktikal yang dikenali sebagai ilmu fiqh.

Seperti yang dapat dilihat dari kaca mata sejarah, sebahagian ulama'-ulama' hadis yang agung di zaman salaf yang soleh juga, amat menghormati dan memuliakan ulama'-ulama' Fiqh yang mahir dalam bidang Hadis juga, yang Allah pelihara mereka daripada bercanggah dengan Hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Bahkan, mereka turut mempelajari makna-makna hadis yang mereka riwayatkan daripada ulama-ulama fiqh yang muktabar.

Abdullah bin Mubarak (seorang ulama' Hadis dari Khurasan) r.h.l. pernah berkata: "Jika Allah s.w.t. tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama' Fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) ".[1]

Sufian bin 'Uyainah r.h.l. pernah berkata: "Orang yang pertama membantu saya dalam memahami hadis dan menjadikan saya seorang ahli Hadis ialah Imam Abu Hanifah (seorang ulama' fiqh)"[2]

Abdulla bin Wahab r.h.l. (seorang ahli hadis juga sahabat Imam Malik r.h.l.) juga pernah berkata: "saya telah berjumpa dengan tiga ratus enam puluh ulama', (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith r.h.l (ulama'-ulama' Fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu."[3]

Beliau juga diriwayatkan pernah berkata: "Kami mengikuti empat orang ini dalam ilmu, duanya di Mesir dan dua orang lagi di Madinah. Imam Al-Laith bin Sa'ad dan Amr bin Al-Harith di Mesir, dan dua orang lagi di Madinah ialah Imam Malik dan Al-Majishun. Jika tidak kerana mereka, nescaya kami akan sesat."

Imam Al-Kauthari r.h.l. berkata di dalam kitab Al-Intiqa' karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn 'Asakir): "Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam Al-Laith Sa'ad, nescaya saya akan binasa. Dulu, saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) (As-Sunnah dan Al-Hadis), perlu diamalkan".

Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud Hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Kemudian, Imam Al-Kauthari mengulas: "Kesesatan yang dimaksudkan sepertimana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu Fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadis yang diamalkan dan selainnya. [4]

Al-Qodhi 'Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata: "Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat." Beliau ditanya: "Mengapa begitu?" Beliau menjawab: " Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: "Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)."[5]

Sufian bin 'Uyainah pernah berkata: "Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha' (ulama' ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman)."[6]

Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata: "Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!" Beliau menjawab: "Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi). Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja. Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah.[7]

Abdullah bin Mubarak r.h.l. pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah r.h.l.: "Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam).[8]

Sebahagian orang, hanya membaca matan-matan hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, tanpa menghiraukan ulasan-ulasan ahli-ahli Fiqh yang bergiat secara khusus dalam mengkaji hadis-hadis tersebut, mengenai hadis-hadis tersebut.. Mereka berfatwa dan mengemukakan hadis-hadis yang diragui kesahihannya disisi Imam-imam terdahulu yang 'Alim, dalam masalah hukum dan percakapan mereka.

Kadangkala, mereka menolak ulasan-ulasan ulama'-ulama' yang 'Alim, mengenai kedudukan hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), dan bersangka buruk pula kepada ulama'-ulama' tersebut. Ada dikalangan mereka pula, yang melemparkan tohmahan yang buruk keatas ulama'-ulama' muktabar tersebut serta pengikut-pengikut mereka dan mengatakan bahawa mereka (ulama'-ulama' terdahulu dan pengikut-pengikutnya) jahil tentang hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Amat buruklah tohmahan mereka itu!

Imam Ahmad bin Hanbal r.h.l. pernah bekata (seperti yang diriwayatkan oleh anaknya Soleh r.h.l.): "seseorang yang ingin memberi fatwa perlulah terlebih dahulu memahami keseluruhan Al-Qur'an, mengetahui sanad-sanad hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) dan mengetahui Sunnah-sunnah.[9]

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal r.h.l. berkata, "saya pernah bertanya kepada ayah saya (Ahmad bin Hanbal r.h.l.), tentang seorang pemuda yang memiliki banyak kitab-kitab mengenai hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) dan himpunan kata-kata paa sahabat r.a. dan para tabi'in r.h.l., tetapi tidak mengetahui tentang kedudukan sesuatu hadis tersebut samada sahih atau sebaliknya, adakah dia boleh beramal sesuka hatinya? Ataupun, adakah dia layak memilih hadis mana yang dia mahu gunakan, dan memberi fatwa atau beramal dengannya? Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: "Tidak! Sehinggalah dia bertanya kepada ulama' mengenai hadis mana yang boleh digunakan. Kemudian, barulah dia boleh beramal dengannya (hadis yang disahkan kesahihannya oleh ulama' yang ditanya mengenainya)."[10]

Imam As-Syafi'e r.h.l. pernah menegaskan: "Seseorang tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali dia mengetahui keseluruhan Al-Qur'an dan ilmu-ilmunya seperti nasikh dan mansukh, ayat muhkam dan mutasyabih, ta'wil dan tanzil, ayat makkiyah atau madaniyyah. Dia juga perlu mengetahui tentang hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), serta ilmu-limunya ('ulumul hadis) seperti nasikh dan mansukh, dan lain-lain. Setelah itu, dia juga pelu menguasai Bahasa Arab, Sya'ir-sya'ir Arab, dan sastea-sasteranya (kerana Al-Qur'an dan Hadis dalam Bahasa Arab dan mengandungi kesasteraannya. Setelah itu, dia juga pelu mengetahui perbezaan Bahasa Arab di kalagan setiap ahli masyarakat Arab. Jika dia sudah menguasai keseluruhan pekara-perkara tersebut, barulah dia layak memberi fatwa mengenai halal dan haram. Jika tidak, dia tidak layak untuk memberi fatwa."[11]

Khalaf bin Umar r.h.l. telah berkata: "Saya mendengar Malik bin Anas (r.h.l.) berkata: "Saya tidak pernah duduk untuk memberi fatwa sehinggalah saya bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih 'alim dari saya tentang kelayakan saya untuk berfatwa. Saya pernah bertanya terlebih dahulu kepada Rabi'ah (r.h.l.) dan Yahya bin Sa'id, sedangkan mereka menyuruh saya untuk berfatwa. Maka, saya menegaskan: "Wahai Aba Adullah, adakah tidak mengapa untuk saya berfatwa sedangkan kamu ada di sini?" Beliau menjawab: "Saya tidak layak berfatwa. Tidak layak bagi seseorang itu, menganggap dirinya layak untuk sesuatu perkara, sehinggalah dia bertanya kepada seseorang yang lebih mengetahui darinya."[12]

Mka, jelaslah berdasarkan kata-kata ulama'-ulama' salaf yang dinukilkan oleh Sheikh Habib Al-Kairanawi r.h.l., telah menolak pendapat orang-orang mewajibkan setiap orang untuk berijtihad. Kemungkinan, mereka tersalah faham terhadap perkataan-perkataan sesetengah ulama' dalam karangan-karangan mereka, padahal kefahaman yang salah itu, amat bercanggah dengan kefahaman jumhur ulama'. Kemudian, golongan tersebut memperjuangkan kefahaman yang salah ini, dan mengajak seluruh umat Islam mengikuti pendapat tersebut (walaupun pada hakikatnya amat bercanggah dengan kefahaman yang sebanar). Akhirnya, tejadilah kekacauan dan pertelingkahan dikalangan umat Islam, disebabkan oleh perjuangan terhadap fahaman yang salah ini (yang mewajibkan setiap orang berijtihad). Na'uzubillah min zalik.

Salah faham ini sebenarnya membawa kepada pepecahan dikalangan penuntut-penuntut ilmu dan akhirnya membawa kepada permusuhan dan saling jauh menjauhi antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan terputusnya tali persaudaraan yang Allah s.w.t. menyuruh umat Islam menyambungkannya (tali persaudaraan Islam).

Kita perlulah mempelajari ilmu dari ahli ilmu yang muktabar dari sudut ilmunya, bukan sekadar membaca buku-buku imiah tanpa dibimbingi oleh seseorang guru yang alim. Ini kerana, barangsiapa yang tiada guru yang membimbingnya dalam mendalami samudera ilmu Islam dalam kitab-kitab, maka syaitanlah yang akan menjadi pembimbingnya. Bahkan, para ulama' muktabar turut menyeru agar ilmu agama dipelajari oleh kaedah isnad, di mana kefahaman tentang agama Islam diambil dari para ulama' yang jelas sanad ilmunya bersambung kepada Rasulullah s.a.w.

Nas-nas di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah bagaikan bahan mentah bagi Syariat Islam. Ia perlulah diadun dengan acuan-acuan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu Asbabun Nuzul, Asbabul wurud, ilmu rijal, ulumul Qur'an, ulumul Hadis, usul Fiqh dan sebagainya. Sheikhuna As-Syarif, Al-Habib Yusuf Al-Hasani h.f.l. pernah menyebut bahawa "sesiapa yang tidak menguasai ilmu-ilmu tersebut, namun cuba mengamalkan hadis-hadis yang dibacanya tanpa bimbingan guru-guru yang alim, bagaikan mengambil daging mentah dari peti sejuk dan memakannya begitu sahaja. Bukankah ianya memudaratkan diri sendiri"

Jika kita dikalangan orang awam, bukan ahli ilmu, maka bertanyalah kepada orang yang 'alim, dan janganlah beijtihad sendiri terhadap nash-nash. Allah telah berfirman:


(( فسئلوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون))


Maksudnya: Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (akan sesuatu perkara).

Wallahu'alam



[1] Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16
[2] Kitab "Jawahir Al-Mudhiyah" jilid 1 m/s 31
[3] Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin"
[4] Ktab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28
[5] Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427
[6] Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118
[7] Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314
[8] Kitab "Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki" m/s 234
[9] Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah, "I'lamul Muaqi'iin", jilid 2 m/s 252
[10] Al-Faqih Shiekh Habib Ahmad Al-Kairanawi m/s 5, dipetik dari "I'lamul Muaqi'iin"
[11] Ibid m/s 6 dipetik dari kitab "Al-Faqih wal Mutafaqqih" karangan Al-Khatib Al-Baghdadi.
[12] Ibid m/s 6, dipetik dari kitab "Tazyiin Al-Mamalik" karangan Imam As-Suyuti m/s 7-8



Kenali Cinta Ilahi

Tak kenal maka tak cinta. Tapi, bagaimana pula dengan yang tidak kenal cinta? Tiada siapa pada hakikatnya, kenal cinta melainkan Allah s.w.t.. Tiada siapa pada hakikatnya yang bercinta melainkan Allah s.w.t..

Namun, kita yang tidak faham hakikat cinta, pura-pura mencintai. Lebih teruk lagi, kita pura-pura cinta selain dari Allah s.w.t. dan melupakan Allah s.w.t.


Cinta kita tiada nilai. Cinta kita kosong dari cinta. Oleh itu, kita kata, cinta itu buta. Apa yang buta? Kita sendiri buta. Cinta buta kerana kita buta, dalam memahami makna cinta, kerana hala tuju cinta kita bukan kepada SI Pencinta hakiki (Allah s.w.t.).

Mengakulah, kita tidak mampu cinta lebih dari Allah s.w.t. mencintai kita. Kita, kalau cinta sesama manusia sekalipun, kalau kekasih "buat hal", banyak kali "pulak tu", mana tahan. "Last-last", minta putus cinta.

Tapi Allah s.w.t. tidak begitu. Berapa ramai manusia yang tidak balas cinta Allah s.w.t., tapi makan pun Allah s.w.t. masih beri, kesenangan pun Allah s.w.t. masih kurniakan.

Cinta kita:

...Kerana kita memerlukan siapa yang dicintai, untuk lempias nafsu kita.

Cinta kita:

...bermusim

Cinta kita:

...sentiasa meminta dari memberi.

Cinta kita:

...tidak kekal abadi.

Cinta kita:

...tidak sanggup untuk selalu mendengar keluhan dan masalah kekasih kita.

Tetapi...

Cinta Ilahi:

...tanpa berhajat kepada kita, bahkan kitalah berhajat kepada-Nya.

Cinta Ilahi:

...tidak bermusim, bahkan Dialah yang mencintai manusia, dan mencipta cinta dalam diri manusia

Cinta Ilahi:

...sentiasa memberi tanpa meminta, bahkan menyuruh kita untuk meminta dari-Nya

Cinta Ilahi:

...sentiasa sudi mendengar keluhan dan rintihan kita, bahkan sentiasa pula bersama-sama kita dan membantu menyelesaikan masalah kita.

Nah, mana cinta kita jika dibandingkan dengan cinta Ilahi s.w.t.?

Memang tidak terbanding. Tapi, yang peliknya kita sendiri.

Dahlah Allah s.w.t. ciptakan kita...

Dahlah Allah s.w.t. cintakan kita...

Dahlah Allah s.w.t. ciptakan cinta dalam diri kita untuk mencintai-Nya...

Dahlah Allah s.w.t. sentiasa memberi tanpa meminta dari kita...

Dahlah Allah s.w.t. sentiasa mendengar rintihan kita...

Dahlah Allah s.w.t. sentiasa memberi peluang untuk kita membaiki kesilapan kita...

Dahlah Allah s.w.t. Maha Mengampuni kita takkala kita selalu menderhakai-Nya...

Dahlah Allah s.w.t. terus memberi nikmat, walaupun kita selalu buat maksiat terhadap-Nya...

Dahlah Allah s.w.t. sentiasa menyembunyikan keaiban kita dari manusia...

Dahlah Allah s.w.t. menjanjikan syurga untuk ketaatan kita...

Dahlah Allah s.w.t. menjanjikan neraka untuk kederhakaan kita...

Pun begitu...

Kita sering leka, dan terus leka, dari mencintai-Nya, dengan mencintai selain-Nya. Siapa yang tidak memahami cinta, kalau bukan kita. Dahlah tidak faham cinta, namun tidak pula ingin menghargai cinta. Sekurang-kurangnya, kita yang tidak mampu membalas cinta Ilahi s.w.t. kepada kita, dengan cinta kita kepada-Nya sekalipun, cukuplah kita berusaha mencintai-Nya sebagai tanda kita menghargai cinta-Nya kepada kita.

Walaupun tidak mampu balas, apa salahnya kita menghargai cinta-Nya dengan mencintai-Nya sepenuh hati...

Dunia, nafsu, syaitan dan makhluk...tidak menjanjikan cinta, tetapi mengorbankan kita atas dasar cinta...

Sedangkan Allah s.w.t. menjanjikan cinta demi cinta, dari cinta kita, atas dasar cinta, kerana Dia ialah Tuhan CINTA yang sentiasa CINTA, maka fahamilah.

Kalau tidak pandai bercinta, belajarlah cinta dari cinta. Sentiasalah berdoa: "Ya Allah, ajarkanlah aku cinta, supaya aku dapat mencintai-Mu dan jadikanlah cinta hatiku hanya-Mu".

Kemudian, lawan nafsu, dunia dan sebagainya. Berusahalah untuk berubah diri, dengan kembali kepada Allah s.w.t. dan menjadi hamba yang soleh...
Wallahu a'lam...