6.23.2013

Kaedah: "Tidak MemilikI, Tidak Kehilangan"



Kaedah: Tidak Memiliki, Tidak Kehilangan

Hayatilah sebuah hakikat yang nyata, iaitu mengenai diri kita. Kita adalah siapa diri kita, maka terimalah diri kita seadanya. Jika kita tidak dapat menerima diri kita seadanya, siapa yang mahu menerima diri kita seadanya?

Allah s.w.t. yang Maha Esa, menciptakan kita, daripada tiada, kepada ada. Dia menciptakan kita dengan ilmu, kehendak dan kuasa-Nya. Lalu, setelah kita diciptakan, wujudlah kita, dengan-Nya.

Adakah kita wujud? Kita secara hakikatnya, tidak wujud. Iaitu, kita secara asalnya, tidak ada. Tetapi, kita diwujudkan oleh Allah s.w.t., maka kita sebenarnya adalah:

“Tiada, yang diadakan”

Ini adalah hakikat yang nyata, bagi sesiapa yang ingin berkenalan dengan dirinya sendiri. Kita “ada” dengan-Nya, maka tidak sewajarnya merasa ada secara terasing daripada-Nya.

Jika wujud kita bukan milik kita, diri kita pun bukan milik kita, apa yang sebenarnya menjadi milik kita? Semua yang ada dalam kehidupan kita, sama sahaja, iaitu bukan milik kita, samada kita nisbahkan kepada diri kita ataupun tidak, kerana diri kita yang menjadi tempat dinisbahkan semua ‘milik’ kita sendiri bukan milik kita.

Semuanya milik Allah s.w.t., termasuk diri kita. Samada, kita mahu terima ataupun tidak hakikat ini.


1 comment:

Anonymous said...

Selalu lupe hakikat ini..