6.19.2013

Tradisi Pewarisan Ilmu-ilmu Agama (1): Kaedah Pembelajaran Islam dan Pewarisan Ilmu Nabawi



Sesungguhnya, Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan menjadikan golongan para ulama’ sebagai golongan yang berkhidmat dalam memelihara dan mengembangkan ilmu-ilmu agama. Mereka adalah para pewaris tugas Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam menyampaikan kefahaman yang sahih tentang ajaran agama Islam dan mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat awam, di samping memelihara nas-nas agama yang sahih sebagai sumber rujukan bagi para ulama’ generasi yang akan datang.

Kemuliaan para ulama’ yang merupakan pewaris Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- disebut sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana sabda Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam-:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ بِهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ ، إِنَّ الْمَلائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتِهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا عَنْهُ ، وَإِنَّهُ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ ، وَلَفَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءِ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ "


Maksudnya: Sesungguhnya, sesiapa yang berjalan  di atas suatu jalan untuk menuntut dengannya (perjalanan tersebut) suatu ilmu, maka Allah s.w.t. akan melalukannya dengan ilmu tersebut jalan menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada penuntut ilmu sebagai tanda meredhainya. Sesungguhnya apa yang di langit dan yang di bumi akan meminta ampun untuknya sehinggalah ikan-ikan di dalam air sekalipun. Sesungguhnya kelebihan seorang yang berilmu itu berbanding seorang ahli ibadah seumpaman kelebihan bulan purnama berbanding bintang-bintang biasa. Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi…[1]

Dua Asas Perkembangan Ilmu-ilmu Agama

Dalam hadis ini mempunyai kesimpulan tentang tradisi perkembangan ilmu-ilmu agama warisan Nabawi. Bahkan, hadis ini juga menggambarkan bahawa, kekuatan sistem pengajian ilmu agama (Ta’lim Ulum Ad-Din) dalam tradisi Islam adalah pada konsep “pewarisan” ilmu itu sendiri, dari suatu generasi ke suatu generasi melalui para ulama’ (ahli ilmu) dalam setiap zaman.

Maka, dalam hadis ini, ada dua asas perkembangan ilmu-ilmu agama melalui tradisi warisan nabawi iaitu:

Pertama: Proses Ta’allum dan Tholab Al-Ilm. Ia merupakan asas yang sangat penting di mana seorang murid keluar dari rumahnya lalu menuju majlis-majlis pengajian dan bertemu dengan para ulama’ untuk mengambil ilmu. Ini menolak sikap mereka yang suka mengambil ilmu-ilmu agama sekadar daripada buku-buku sahaja tanpa ingin menghadiri majlis-majlis ilmu yang didirikan oleh para ulama’ yang muktabar.

Kedua: Konsep pewarisan. Hadis ini memberi isyarat yang jelas bahawasanya, konsep sebenar perkembangan ilmu-ilmu agama adalah melalui konsep pewarisan, antara seseorang kepada orang yang kemudian selepasnya. Ia menekankan konsep sanad ilmu (penisbahan hubungan keilmuan) yang bersambung sehinggalah kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dan menolak mereka yang tidak mempunyai sanad ilmu secara mutlak.

Para Ulama’ (Institusi Ulama’) Adalah Pewaris Para Nabi

Para ulama’ yang mewarisi tugas para Nabi sebagaimana yang digambarkan dalam hadis tersebut sudah semestinya mempunyai ciri-ciri khusus yang menyebabkan mereka digelar sebagai pewaris para Nabi, bahkan pewaris kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang merupakan penghulu kepada para Nabi dan yang membenarkan ajaran tauhid para nabi terdahulu.

Apakah ciri-ciri khusus para ulama’ yang diisyaratkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadis “pewaris para nabi” tersebut?

Sebelum itu, fokus yang lebih utama sebagai pendahuluan adalah, keperluan untuk memahami konsep warisan itu sendiri. Warisan itu adalah perpindahan sesuatu antara seseorang kepada pihak lain yang mempunyai hubungan antara kedua-dua pihak tersebut, setelah ketiadaannya.

Sebagai contoh, seorang anak itu adalah pewaris bagi ayahnya begitulah seterusnya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka, dengan hubungan “darah-daging” tersebut, si anak bukan sahaja mewarisi genetik ayahnya, malah turut diberi hak mewarisi harta milik ayahnya selepas kematian ayahnya. Begitu juga hubungan pernikahan. Maka, konsep “warisan” perlu ada beberapa perkara iaitu:

  • Orang yang mewariskan (Al-Muwarris)
  • Orang yang mewarisi (Al-Waris)
  • Barang yang diwarisi
  • Hubungan antara Al-Muwarris dengan Al-Waris

Ilmu Adalah Warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-

Dalam hadis ini, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menjelaskan bahawasanya, para ulama’ mewarisi ilmu daripada para Nabi. Maknanya, setiap zaman yang mempunyai nabi, maka para ulama’ di zaman para nabi tersebutlah yang akan mewarisi ilmu mereka. Maka, pada zaman Nabi Muhammad -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ dari kalangan umat Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah pewaris kepada ilmu Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Dalam riwayat yang lain, hadis para ulama’ pewaris para nabi a.s. itu disambung dengan lafaz:

لَمْ يَرِثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا , وَإِنَّمَا وَرِثُوا الْعِلْمَ , فَمَنْ أَخَذ به , أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “…Sesungguhnya mereka (para nabi) tidak mewariskan dinar mahupun dirham. Akan tetapi, mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilny bererti telah mengambil suatu bahagian yang menguntungkan”. [2]

Imam As-Sakhawi menyebut tentang kedudukan hadis ini dalam Al-Maqasid Al-Hasanah secara umumnya:

وصححه ابن حبان والحاكم وغيرهما ، وحسنه حمزة الكتاني ، وضعفه غيرهم بالاضطراب في سنده ، لكن له شواهد يتقوى بها

Maksudnya: “Imam Ibn Hibban, Imam Al-Hakim dan selain kedua-duanya mensahihkan hadis ini. Imam Hamzah Al-Kattani pula menilainya sebagai hasan. Sebahagian ulama’ menilai hadis ini sebagai dha’if kerana ada idthirab dalam sanadnya. Tetapi, bagi hadis ini, ada hadis-hadis sokongan yang mana hadis ini menjadi kuat dengannya.

Maka, kita dapat fahami di sini, konsep warisan ilmu Islam itu adalah seperti berikut:

  • Orang yang mewariskan (Al-Muwarris): Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
  • (Pewaris) Orang yang mewarisi: Para ulama’
  • Sesuatu yang diwarisi: Ilmu Agama
  • Hubungan antara pewaris dengan orang yang mewarisi: Hubungan/Sanad/Silsilah Talaqqi dan Tahadduth (Sanad Ilmu dan Pembelajaran secara Riwayah dan Dirayah)

Maka, apa yang kita fahami adalah, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- meninggalkan kepada kita dua sumber kepada ilmu-ilmu agama yang utama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah. Maka para ulama’ perlulah berpegang dengan kedua-duanya kerana itulah sumber ilmu yang diwariskan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menyebut tentang sumber kepada ajaran agama Islam dan ilmu-ilmu agama dalam hadis:-

إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُمَا : كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّتِي ، وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضَ "

Maksudnya: “Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kamu semua dua perkara yang mana kamu semua tidak akan sesat setelah kedua-duanya. Iaitu, kitab Allah dan Sunnahku. Yang mana, kedua-duanya tidak akan terpisah sehinggalah kembali semula kepadaku di telaga khaudh[3]

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kepentingan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai sumber dalam memahami ajaran agama Islam. Namun begitu, ilmu warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bukan sekadar berbentuk sumber kepada ilmu-ilmu agama sahaja iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah sahaja. Ia juga merangkumi manhaj sahih dalam memahami kedua-dua sumber tersebut (melalui para sahabat r.a.). Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak meninggalkan kepada umat Islam hanya teks (nas) Al-Qur’an dan As-Sunnah tanpa meninggalkan manhaj sahih dalam memhami kedua-duanya (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih), kerana tanpa memiliki manhaj yang sahih untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah, seseorang yang jahil boleh tersesat dan salah faham terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah itu sendiri.

Kita lihat dalam lembaran sirah sendiri, di mana sebahagian para sahabat r.a. tidak dapat memahami teks atau sumber agama secara sahih lalu diterangkan maksudnya yang sahih oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-. Sebagai contoh, diriwayatkan oleh Adi bin Hatim r.a. yang berkata:

لما نزلت: ))‏الـخَيْطُ الأبْـيَضُ مِنَ الـخَيْطِ الأسوَدِ مِنَ الفَجْرِ))... عمدت إلى عقال أسود وإلى عقال أبيض فجعلتهما تحت وسادتي فجعلت أنظر في الليل فلا يستبين لي فغدوت على رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فذكرت له ذلك فقال  إنما ذلك سواد الليل وبياض النهار ‏

Maksudnya:  Ketika turun ayat (yang bermaksud): “…Sehingga terang kepadamu benang putih dari benang hitam iaitu fajar…” [Surah Al-Baqarah: 187].

Lalu saya mengambil tali hitam dan digabungkan dengan tali putih, lalu saya letakkan di bawah bantalku. Ketika malam saya sentiasa melihatnya namun tidak jelas bagiku. Pagi harinya, saya pergi menemui Rasululloh Shollallahu 'alaihi wa Salam dan saya menceritakan kepada Baginda Shollallahu 'alaihi wa Salam tentang perbuatanku tersebut. Lalu, Baginda Shollallahu 'alaihi wa Salam bersabda yang bermaksud: “Maksud ayat tersebut adalah hitamnya malam dan putihnya siang[4]


[1] Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (dengan sanad hasan), Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Majah, Imam Ibn Hibban dalam sahihnya, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (dengan sanad yang hasan) dan sebagainya. Kebanyakan jalan-jalan periwayatan hadis ini melalui Saidina Abu Ad-Darda’ r.a. melalui jalan beberapa tabi’in antaranya Kathir bin Qais (dha’if), Uthman bin Abi Saudah (seorang tabi’in yang thiqah. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis ini melalui jalan beliau dengan sanad hasan), Yazid bin Samurah dan ‘Atho’ bin Abdillah (sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dengan sanad hasan juga).
[2] Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah dalam Musnadnya riwayat Abu Nu’aim, Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Imam Al-Bazzar dalam Musnadnya yang mana semuanya daripada Saidina Abu Ad-Darda’ r.a.
[3] Hadis diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, Imam Malik dalam Muwatho’ dan sebagainya. Walaupun begitu, ada lafaz yang lebih kuat daripada lafaz ini iaitu, dua perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- tersebut adalah kitab Allah s.w.t. dan Ahli Bait Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi, di sini bukan tempat untuk membincangkannya.

[4]  Hadis riwayat Al-Bukhari (no: 1783) dan Muslim

2 comments:

Anonymous said...

semoga Allah redha...

alfaqir said...

amiiin..syukran...