7.19.2013

Nikmat Islam: Pengaruh dan Kesan Mahabbah dan Ukhuwwah Islamiyyah



Nikmat Islam: Pengaruh dan Kesan Mahabbah dan Ukhuwwah Islamiyyah

Malam tadi, di Masjid Jamek Bahau, setelah solat tarawih dan majlis selawat, Sheikhna Sayyidi Sheikh Yusuf al-Hasani menyentuh satu topik yang sangat memberi kesan kepada para hadirin. Ia tentang mahabbah, atau kasih sayang, dan konsep tawakkal dan rezeki. Bahagian mahabbah disampaikan dengan penuh mahabbah, sekurang-kurangnya sebagai pendengar, merasai kemanisan kasih sayang yang sejagat dan sejati.

Islam hadir membawa pelbagai nilai-nilai positif dan mulia, samada untuk individu mahupun kemasyarakatan. Islam mengubah manusia daripada nilai-nilai negatif kepada positif. Manusia bukan tidak bijak, tidak cerdik dan tidak berilmu, namun faktor pendorong yang cukup kuat belum ada bagi manusia yang tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik.

Bahkan, kalimah Jahiliyyah bukan merujuk kepada sebuah masyarakat yang jahil, iaitu yang tidak mempunyai ilmu, kerana dari sudut kemasyarakatan, banyak pembangunan yang berlaku, seperti dalam bidang perniagaan, sastera dan kebudayaan, dan sebagainya. Bahkan, Makkah juga suatu tempat yang dikunjungi oleh manusia dari setiap pelusuk dunia, sehingga dicemburui oleh Abrahah. Maka, sudah tentu masyarakatnya sudah dipengaruhi oleh ilmu dan kebudayaan masyarakat asing dan kejayaan mereka menjaga kebajikan tetamu-tetamu yang hadir ke Makkah juga menunjukkan kepandaian mereka.

Justeru, istilah Jahiliyyah tidak merujuk kepada tiada ilmu, tetapi lebih kepada tiadanya pengaruh ilmu dalam kehidupan seharian, terutamanya unsur hidayah dan petunjuk dalam budaya ilmu mereka. Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. daripada ilmu yang tidak bermanfaat, iaitu yang tidak disertai oleh kekuatan untuk mengamalkan.

Unsur Mahabbah

Antara nilai positif yang dibawa oleh Islam adalah unsur kasih sayang dan perpaduan. Itulah yang disebutkan oleh Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani, dalam majlis yang penuh keberkatan tadi. Betapa nilai mahabbah yang disemai oleh Islam, dalam jiwa kaum muslimin, membentuk satu unsur kekuatan dalam mengamalkan apa yang mereka ketahui, bahkan menterjemahkan apa yang mereka percaya.

Ayat yang kita sering dengar, mungkin kita mendengarnya secara mudah, tetapi maknanya sungguh mendalam. Ia menggambarkan sebuah nikmat yang besar dan anugerah yang agung. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (Surah Ali Imran: 103)

Kalimah persaudaraan yang disebut dalam ayat ini sangat mendalam maknanya, bahkan di sisi para ulama’, persaudaraan atas dasar agama lebih kuat ikatannya berbanding persaudaraan darah daging semata-mata. Persaudaraan atas dasar agama menjangkau kebangsaan dan sempadan daerah.

Menurut sebahagian ahli tafsir, ayat ini merujuk kepada golongan Aus dan Khazraj yang dikatakan telah lama berperang sesama mereka atas alasan-alasan dan faktor kecil semata-mata. Sifat kepuakkan dan cinta dunia menebal dalam diri mereka sehingga disebabkan masalah keduniaan yang kecil sahaja, mereka sanggup berperang sesama mereka.

Namun lihatlah, sebagaimana yang disebutkan oleh Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani, setelah kehadiran Islam, bagaimana keadaan mereka? Dua bangsa yang dahulunya bermusuhan dan sering bergaduh atas faktor keduniaan dan pentingkan diri, akhirnya berubah menjadi bangsa yang penyayang dan mengutamakan orang lain.

Ketika hadir golongan Muhajirin dari Makkah ke Madinah, golongan Aus dan Khazraj ini menjadi pembantu yang setia kepada Muhajirin. Bahkan, mereka sanggup membahagikan harta dan apa sahaja kepunyaan mereka, kepada saudara-saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Ini adalah nilai mahabbah yang disemai oleh Islam, lalu dengan demikian, mereka bersaudara atas dasar Islam.

Pelajaran Dari Dunia Arab

Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani turut mengingatkan kita, sebagaimana juga dalam majlis-majlis sebelum ini, tentang fenomena yang berlaku di dunia Arab pada masa kini. Kita perlu bersama dengan mereka yang tertindas, iaitu dengan doa. Ini kerana, kebersamaan itu hakikatnya adalah kebersamaan roh. Kita perlu sentiasa mendoakan mereka di samping membantu mereka dengan apa sahaja yang termampu. Berdoalah untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka, terutamanya di tengah malam ketika bermunajat dan bertahajjud.

Semua perkara yang berlaku ada pelajaran yang boleh diambil. Beliau adalah antara yang terlibat secara langsung dalam fenomena ini, terutamanya di Syria, Lubnan dan yang terbaharu di Mesir. Isunya bukan lagi tentang menuding jari kepada sesiapa, atau mencari salah siapa, tetapi bagaimana ianya dapat ditamatkan segera, kerana darah kaum muslimin adalah terlalu mahal. Kita berselisihan hatta bertelingkah sekalipun, jangan lupa sempadan persaudaraan. Jangan keluar dari batasan persaudaraan yang diletakkan oleh Islam.

Mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah, tidak akan membawa kepada permusuhan. Mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah s.w.t., pasti akan memilih mudarat yang paling ringan dalam kalangan mudarat yang ada. Bahkan, mereka yang berpegang dengan tali Allah s.w.t.. tidak akan menolak mudarat dengan mudarat yang lebih besar, dan tidak akan mengutamakan mengambil manfaat, berbanding menolak mudarat. Jika ada dalam kalangan muslimin yang bersaudara itu, melepaskan pegangannya terhadap tali Allah s.w.t., janganlah ianya menjadi penyebab kepada semuanya akhirnya melepaskan pegangan terhadap tali Allah s.w.t..

Wallahu a’lam


No comments: