5.29.2009

Hidup Ini Suatu Anugerah, Maka Nikmatilah...


Hidup Ini Suatu Anugerah

Hadith ini menggambarkan bahawa, hidup ini sebenarnya, suatu anugerah dan kebaikan kepada manusia. Segala yang berlaku di dalam kehidupan seseorang manusia, mengandungi kebaikan dan kebahagiaan, jika seseorang itu hidup dalam keimanan yang murni kepada Allah s.w.t..

Hidup ini, dengan kepelbagaian warna-warninya, suka dukanya, dan susah senangnya, merupakan suatu anugerah kepada manusia, jika mereka mengerti, dan menghayati kehidupan ini dengan penghayatan yang disuluh dengan keimanan.

Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan segenap potensi untuk terus maju dan menerima proses penyempurnaan diri, lalu dijadikan seluruh kehidupan ini, sebagai suatu kilang dalam memproses manusia ke arah kesempurnaan dan kematangan khususnya dalam kehambaan diri manusia kepadaNya. Oleh yang demikian, hidup ini suatu anugerah, kerana ianya merupakan suatu medan penyempurnaan kehambaan manusia kepadaNya.

Sesiapa yang menghayati makna ini, maka pasti dia akan menghargai seluruh kehidupannya dan jalan kehidupan yang dilaluinya, kerana dia dapat merasakan bahawasanya, hidup ini suatu medan penyempurnaan sudut kehambaan dirinya kepada Allah s.w.t.. Bagaimana seseorang tidak menghargai suatu medan yang dapat menyempurnakan dirinya?




Rasa Kehambaan: Kunci dalam Menghargai Kehidupan

Ramai manusia gagal mengecapi makna hadith ini, dan seterusnya gagal menikmati hidup sebagai suatu anugerah, kerana tidak memiliki rasa kehambaan dalam diri mereka, kepada Allah s.w.t.. Manusia mula kecewa, gundah-gulana, serba sedih dan sengsara, dalam melalui roda-roda kehidupan mereka, apabila mereka tidak lagi memiliki rasa kehambaan kepadaNya.

Sesungguhnya, rasa kehambaan inilah yang merubah persepsi seseorang manusia terhadap kehidupannya, iaitu daripada merasakan kesempitan dunia, kepada kelapangannya. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawasanya, hanya bagi orang yang beriman sahaja, seluruh urusan kehidupannya baik baginya. Adapun unsur terpenting dalam keimanan itu sendiri adalah kehambaan kepadaNya.

Tanpa rasa kehambaan dalam diri seseorang manusia, dia tidak dapat menghargai kehidupan sebagai sebuah medan penyempurnaan dirinya. Hal ini kerana, seseorang yang tidak merasakan dirinya sebagai hamba, bagaimana dapat merasakan kehidupan ini menyempurnakan kehambaannya, seterusnya mampu menghargai kehidupannya.

Begitu juga, seseorang pelajar di sekolah, jika tidak merasa dirinya sebagai seorang pelajar, bagaimana dapat merasakan sekolah itu menyempurnakan aspek kepandaiannya, seterusnya menghargai sekolah tersebut.

Kehidupan Ini Suatu Madrasah

Sebagaimana contoh yang diberikan sebelum ini, kehidupan ini sebenarnya suatu sekolah, namun ianya mengajar manusia akan makna-makna yang lebih luas. Untuk mendekatkan kefahaman kita tentang hubungan kehambaan dengan kebahagiaan hidup, maka dapatlah dibuat perbandingan dengan alam yang lebih kecil iaitu alam persekolahan.

Alam persekolahan tidak asing lagi dalam proses perjalanan hidup seseorang manusia secara amnya. Di sekolah, ada pelbagai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh para guru bagi memastikan ia (sekolah) merupakan medan bagi penyempurnaan aspek kepandaian dan jati diri seseorang pelajar atau penuntut ilmu.

Di sekolah, di samping aktiviti-aktiviti pembelajaran di kelas sebagai aktiviti utama, ada juga aktiviti-aktiviti sampingan ataupun luaran seperti pendidikan jasmani, acara sukan, perkhemahan, lawatan dan sebagainya. Namun, segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan di dalam sekolah merupakan suatu langkah untuk mempertingkatkan aspek keilmuan dan jati diri dalam diri seorang penuntut ilmu (pelajar).

Namun, bagi kebanyakkan pelajar yang tidak memahami fungsi sekolah, dan tidak merasakan dirinya sebagai seorang pelajar, serta tidak menghayati unsur kepandaian dan keilmuan dalam diri mereka yang perlu dipertingkatkan di medan sekolah tersebut, pasti akan merasakan suatu kekosongan dalam alam persekolahan mereka, terutamanya sewaktu berada dalam kelas. Namun, tidak dapat dinafikan di mana, mereka akan terhibur dengan aktiviti-aktiviti luar seperti waktu rehat, waktu bersukan dan sebagainya, kerana menepati nafsu dan keinginan mereka yang cenderung untuk bermain dan berseronok. Pun begitu, mereka cukup tidak berpuas hati apabila guru mengambil tindakan disiplin ke atas mereka atas kesalahan yang mereka lakukan.

Inilah corak dan warna-warni alam persekolahan. Seluruh aktiviti yang diwujudkan di sekolah hanyalah bertujuan untuk mempertingkatkan aspek keilmuan dan jati diri dalam diri para pelajar itu sendiri. Namun, bukan semua aktiviti dalam sekolah, digemari oleh para pelajar. Hal ini kerana, mereka hanya menggemari aktiviti yang menepati keinginan nafsu mereka yang inginkan keseronokan. Apabila tamat waktu rehat, dan mereka kembali ke kelas masing-masing, perasaan seronok sewaktu rehat tadi berganti dengan rasa kebosanan sedikit demi sedikit, kerana mereka tidak menghargai kelas-kelas pembelajaran kerana mereka tidak pernah menghayati diri mereka sebagai pelajar yang hadir ke sekolah untuk menimba ilmu dan menyempurnakan diri. Lebih membuatkan para pelajar tidak gemar dalam alam persekolahan ialah, apabila mereka melanggar peraturan sekolah, maka mereka akan dihukum dan didenda, kerana ini bertentangan dengan nafsu keseronokan mereka.

Begitulah persepsi-persepsi dalam diri seorang pelajar, yang mana seluruh alam persekolahan tidak selalunya memberi keseronokan kepadanya, padahal, seluruh aktiviti dan pengisian dalam persekolahannya tersebut, merupakan langkah-langkah dan proses bagi mempertingkatkan aspek keilmuan dan menyempurnakan dirinya. Pelajar tersebut gagal menikmati seluruh alam persekolahannya sebagai suatu anugerah kerana tidak menghayati dirinya sebagai pelajar yang perlu mempertingkatkan aspek kepandaian dan ilmunya, dan tidak menghayati fungsi sekolah sebagai medan untuk mempertingkatkan aspek kepandaiannya. Oleh yang demikian, dia hanya menikmati satu bahagian kecil sahaja daripada seluruh alam persekolahannya. Adapun sebahagian besar daripada seluruh alam persekolahannya, kerana tidak merasakan dirinya sebagai seorang pelajar yang perlu mempertingkatkan aspek kepandaian dan ilmunya.

Pelajar yang berjaya menikmati seluruh alam persekolahannya hanyalah, pelajar yang merasakan dirinya seorang pelajar yang perlu mempertingkatkan aspek kepandaian dan ilmunya di sekolah tersebut. Lalu, seluruh yang berlaku dalam alam persekolahannya, dihayati dan dinikmati, sebagai sebuah medan untuk mempertingkatkan aspek ilmu, kerohanian dan kepandainnya. Dia bersemangat setiap kali melangkah ke dalam kelas-kelas pengajian. Dia tabah dalam menghadapi hukuman-hukuman dan tarbiah daripada pihak sekolah, kerana dia tahu, semua yang dilakukan oleh pihak sekolah, dalam rangka untuk membentuknya dan mempertingkatkan dirinya, demi kebaikan dirinya juga.

Begitu juga manusia dalam sebuah sekolah yang lebih besar iaitu sekolah yang bernama "kehidupan". Ramai manusia gagal menikmati seluruh kehidupan mereka kerana tidak merasakan diri mereka sebagai hamba-hamba Allah s.w.t. yang perlu menyempurnakan aspek kehambaan dalam diri mereka. Padahal, seluruh kehidupan manusia merupakan sebuah medan untuk penyempurnaan aspek kehambaan dirinya.

Apabila seseorang cuba hidup tanpa merasakan dirinya sebagai hamba Allah, ataupun tanpa merasakan unsur kehambaan dalam dirinya kepadaNya, maka pada ketika itulah, manusia gagal menikmati seluruh kehidupannya, sebagaimana seorang pelajar yang berada di alam persekolahan tanpa merasakan dirinya sebagai pelajar yang ingin menuntut ilmu pengetahuan dan meningkatkan aspek kepandaiannya di medan persekolahan tersebut, lalu gagal menikmati seluruh alam persekolahan, sepenuhnya.

Hidup ini suatu madrasah yang terluas dalam kehidupan seseorang manusia. Guru madrasah kehidupan tersebut ialah Allah s.w.t., Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang, lebih bijaksana dan lebih penyayang daripada para guru dan pihak sekolah kepada murid-muridnya. Para hamba Allah s.w.t. justeru diberi anugerah sebuah kehidupan di dunia ini, demi mempertingkatkan dan menyempurnakan unsur kehambaan dalam diri mereka.

Namun, apabila seseorang manusia tidak menghargai unsur kehambaan dalam dirinya, dengan bertindak untuk tidak mentaati Allah s.w.t. lalu menderhakaiNya, maka seluruh hidupnya, akan hilang kelazatannya, walaupun pada zahirnya, terkadang dia mampu tersenyum, namun nun jauh di lubuk hati terdalamnya, ada suatu kekosongan yang tidak terisi oleh seluruh kebendaan dunia di sekelilingnya.

Kembalilah Merasai Diri sebagai HambaNya, Demi Sebuah Kebahagiaan Abadi

Manusia yang terpukau dengan kilauan kebendaan duniawi, dan terpengaruh dengan pujuk rayu nafsu serta tipu daya syaitan, pasti akan lalai daripada menghargai unsur kehambaan dalam dirinya. Namun, unsur kehambaan dalam diri manusia tetap wujud. Manusia tidak pernah sama sekali bebas daripada cengkaman kekuasaan Allah s.w.t. ataupun bebas daripada unsur kehambaan kepada Allah s.w.t. dalam dirinya tersebut.

Orang yang hidup tanpa merasakan dirinya sebagai hamba Allah, ataupun cuba mengabaikan unsur kehambaan dalam dirinya, tidak akan dapat menikmati seluruh kehidupan ini sepenuhnya, bahkan tidak dapat mengecapi kebahagiaan dalam segenap yang berlaku dalam kehidupannya.

Dia sentiasa merasa dukacita, putus asa dan sengsara ketika ditimpa musibah dan sentiasa merasa ketakutan, kekosongan dan kemurungan hidup, walaupun dikelilingi oleh kenikmatan duniawi.

Ketika dilanda musibah, maka dia yang sentiasa merasakan bahawasanya dirinya hidup sendiri, dengan upaya dirinya sendiri, pasti merasa terhimpit dek kesulitan, akibat tidak menghayati kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kehidupannya, yang mampu membantunya dalam menghadapi sebarang musibah.

Ketika dihujani oleh kesenangan, maka dia yang tamakkan dunia pasti sentiasa merasa gusar dan curiga, kalau-kalau kesenangan yang dimilikinya cuba dirampas oleh orang lain. Maka, senyuman rakan dan taulan di sekelilingnya sekalipun, diragui kerana sentiasa buruk sangka sesama manusia. Makin banyak harta yang dimilikinya, makin bertambah rasa takut dalam dirinya kerana takut kehilangan harta-harta tersebut.

Apalah nilai kebahagiaan dalam dua buah kehidupan yang sedemikian rupanya. Apalah makna bahagia bagi mereka yang hidup tanpa merasakan mereka sebagai hamba-hambaNya.

Oleh yang demikian, hanya dengan kembali menghayati unsur kehambaan dalam diri seseorang kepada Allah s.w.t.lah, dapat mengubah persepsinya terhadap kehidupan dunia ini, lalu merasakan seluruh kehidupan ini menjadi suatu anugerah, di mana setiap yang berlaku di dalamnya (dalam kehidupannya) merupakan medan penyempurnaan kehambaannya.

Dalam diri setiap manusia sendiri, ada petunjuk-petunjuk yang membuktikan bahawa dirinya seorang yang lemah, dan memerlukan kepada yang Maha Berkuasa, yang lebih berkuasa daripada dirinya untuk menjadi persandaran abadi. Rasa diri lemah lalu ingin bergantung kepada yang Maha Berkuasa, menyebabkan kewujudan yang Maha Berkuasa semakin terasa dalam hati dan segenap kehidupannya. Inilah yang membawa seseorang dalam merasakan bahawasanya dirinya sekadar seorang hamba kepada Dia yang Maha Berkuasa tersebut.

Kembalilah kepada ketaatan dan kehambaan kepada Tuhan, nescaya kamu akan dapati seluruh kehidupan ini suatu anugerah yang membahagiakan kamu.


Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan: “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”.

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.


Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan." [Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" [Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini: "Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:

"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah




Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.

Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.




Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.

Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)

Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:

“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.

Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..

Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..

Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.

Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.

Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.

Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.

Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.

Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..

ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.

Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):

“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”

Allah…

Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.

Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.

Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:

“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.

Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-

“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)

Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy