11.29.2012

Peranan Para Ulama' Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (2)



Tradisi Perkembangan Ilmu Pengetahuan Aqliyyah (Bersifat Akal) Di Mesir

Tradisi dan budaya keilmuan memang sudah berkembang sejak zaman Mesir Purba lagi di mana sejarah menjadi saksi betapa tamadun Mesir Purba merupakan salah satu daripada tamadun kemanusiaan yang dibangungkan dengan penuh gemilang.

Jika didapati piramid-piramid di Mesir juga, ianya menjadi salah satu daripada tanda keagungan budaya kesarjanaan tamadun Mesir Purba. Begitu juga bagaimana mayat-mayat Firaun diawet dan disimpan jasmaninya, menunjukkan ketinggian penguasaan ilmu para ilmuwan zaman tersebut. Bahkan, mereka yang terlibat dalam bidang keilmuan juga adalah terdiri dari kalangan mereka yang memimpin dalam bidang keagamaan.

Sejarah Nabi Yusuf a.s. juga tidak kurang hebatnya dari sudut pentadbiran sesebuah ketamadunan. Pada ketika itu, sudah perkembang teknologi saliran air, pentadbiran sumber pertanian, kewangan dan sebagainya.

Setelah Islam berkembang, Mesir juga mempunyai bentuk sejarahnya yang tersendiri dalam dunia Islam sehingga menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan ketamadunan Islam. Sehinggakan, dalam kitab Husn al-Muhadarah, Imam as-Suyuti menyebutkan bahawasanya, ketika mana Mesir terus berkembang sebagai pusat ilmu dan tempat tinggal ramai para ulama’, maka ia terus maju dari sudut pentadbiran. Ia adalah salah satu rahsia daripada rahsia khilafah kenabian yang diwarisi oleh umat Islam.

Dar al-Hikmah di Zaman Fathimiyyah

Dalam pertembungan politik antara Syiah Fathimiyyah dengan Sunniyyah Abbasiyyah pada kurun keempat Hijrah, Syiah Fathimiyyah yang pada ketika itu menguasai Kaherah telah menubuhkan sebuah institusi besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Ia dikenali sebagai Dar al-Hikmah yang diasaskan pada tahun 395 Hijriyyah. Ia berkonsepkan perpustakaan yang besar yang menghimpunkan pelbagai rujukan dalam pelbagai jenis dan bidang ilmu pengetahuan samada rujukan terkini mahupun manuskrip yang lama.

Seorang sejarawan Islam iaitu Imam al-Maqrizi telah mencatatkan bahawanya, ada sebanyak sejuta enam ratus ribu lebih jilid buku yang terkandung dalam Dar al-Hikmah di Kaherah pada ketika itu. Sehinggakan, ia dinilai sebagai antara perpustakaan yang terbesar dalam dunia Islam pada ketika itu, yang lebih besar berbanding Bait al-Hikmah di Baghdad. Dar al-Hikmah tersebut dikunjungi oleh ramai para ulama’ dan ilmuwan Islam termasuklah para doktor yang melakukan pelbagai penyelidikan ilmiah di sana dengan galakan pemerintah pada ketika itu.

Lalu, Dar al-Hikmah melahirkan ramai Fuqaha’ dan ilmuwan yang terus memperjuangkan mazhab Syiah Fathimi. Bahkan, kerajaan Fathimiyyah sangat bergantung kepada para ilmuwan dan Fuqaha’ Dar al-Hikmah ini terutamanya dalam menyebarkan dakwah Syiah Fathimiyyah dan melawan para ulama’ ahli sunnah wal jamaah pada pertembungan ilmiah.

Dari sinilah didapati bahawa, terdapat perbezaan ketara antara Dar al-Hikmah di Kaherah yang ditubuhkan oleh Fathimiyyah untuk menjadi benteng mazhab Fathimi dengan Bait al-Hikmah yang diasaskan oleh Khilafah Abbasiyyah di Baghdad yang bersifat lebih terbuka dan menyeru ke arah kebebasan bersuara dan berdebat. Ini kerana, Bait al-Hikmah di Baghdad banyak menerbitkan rujukan-rujukan bersifat ilmu-ilmu aqliyyah seperti mantik, falsafah, ilmu falak, matematik, kedoktoran dan sebagainya, sehingga ianya dikunjungi juga oleh para ilmuwan bukan Islam. Oleh itu, kita dapati, khalifah Ma’mun pernah terpengaruh dengan sebahagian fahaman Mu’tazilah tetapi tidak memaksa kesemua tokoh-tokoh ilmuwan mengikutinya. Maka, berlakulah perdebatan-perdebatan ilmiah di sana, tidak seperti di Dar al-Hikmah di Kaherah.

Akhirnya, berlaku pertembungan hebat antara dua golongan Syiah Fathimiyyah sehingga menyebabkan kemerosotan pengajian di Dar al-Hikmah di Kaherah. Setelah Syiah ditewaskan oleh tentera Sultan Salahuddin al-Ayyubi, maka, Dar al-Hikmah telah diresapi oleh para ulama’ ahli sunnah wal jamaah sehingga menyebabkan ianya berubah dan tidak berkembang. Suasana keilmuan berkembang dengan lebih pesat di Jami’e al-Azhar dengan pemeliharaan para ulama’ ahli sunnah.

Bersambung...

11.28.2012

Peranan Para Ulama’ Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (1)




Peranan Para Ulama’ Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah:
Sumbangan Ke Arah Membina Pertahanan Pemikiran Umat Islam
Daripada Serangan Pemikiran (1)

Pendahuluan

Seorang tokoh sejarah bernama Sheikh Abu Muhammad al-Hasan al-Laithi pernah menyebut dalam kitab beliau “Fadha’il Misr wa Akhbaruha wa Khawwashuha”: Mesir merupakan sebuah negara hikmah dan ilmu. Daripadanyalah, keluarnya para bijaksana lalu mereka memakmurkan dunia dengan perkataan, kebijaksanaan dan pentadbiran mereka.” [m/s: 15]

Ini menunjukkan, sejak Mesir dibuka oleh para sahabat r.a. yang dipimpin oleh Saidina ‘Amr bin al-Ash r.a., ianya menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Bermula dengan perkembangan hadis dan fiqh terutamanya pada zaman Imam al-Syafi’e r.a., sehinggalah akhirnya perkembangan ilmu-ilmu aqliyyah dan naqliyyah yang lain.

Tokoh ilmuwan Islam terkenal iaitu Sheikh Ibn Khaldun juga menggambarkan Mesir, terutamanya Kaherah, sebagai sebuah bandar yang dibangunkan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Ia disebut di dalam karya beliau yang masyhur iaitu Muqoddimah Ibn Khaldun. Ketika kejatuhan tradisi keilmuan di Baghdad dengan serangan tentera Tatar pada tahun 656 Hijriyyah, kota Kaherah menjadi pusat keilmuan yang paling terkenal dalam dunia Islam. Ia terus berkembang di tangan al-Jami’e al-Azhar.

Al-Azhar sebagai sebuah institusi pendidikan dan pengajian ilmu-ilmu agama mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Namanya sahaja disebut-sebut oleh para ilmuwan dan ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Ia bukan sekadar institusi yang melahirkan ulama’-ulama’ yang agung, bahkan juga mengembangkan ilmu-ilmu baharu di samping mempertahankan warisan kerangka kefahaman ilmu-ilmu agama yang sahih sejak ianya dipegang oleh para ulama’ ahli sunnah wal jamaah.

Sebagaimana para ulama’ adalah golongan yang bertanggungjawab dalam menjaga bidang agama umat Islam samada dari sudut pembelajaran (ta’lim), penerapan dan pembangunan kemasyarakatan dengan nilai ajaran agama tersebut, maka, institusi seperti al-Azhar juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menempatkan perkembangan kesarjaan umat Islam dan keilmuan mereka di samping membangungkan potensi para ulama’ dan ilmuwannya.

Ia terus menempuh cabaran masa dan kesemasaan sehingga terus subur membawa fikrah kefahaman Islam yang sahihnya sepanjang zaman. Tidak dapat dinafikan bahawasanya, sebagaimana institusi-institusi pengajian dan pendidikan yang lain, ianya mempunyai pelbagai bentuk perkembangan samada positifnya mahupun negatif. Namun, perkembangan positif yang berlaku di al-Azhar bahkan yang dilakukan oleh al-Azhar menyebabkan para pengkaji sejarah lebih fokus terhadap sudut positifnya berbanding negatifnya. Ini kerana, al-Azhar itu sendiri adalah sebuah institusi yang telah banyak menyumbang dalam perkembangan tamadun Islam secara umum, dalam bidang ilmu pengetahuan masyarakat Islam secara khusus.

Bersambung...

11.05.2012

Pengenalan Surah al-Ikhlas



Pengenalan Surah al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas merupakan antara surah yang mempunyai ketinggian kedudukannya dalam Al-Qur`an. Ia dinilai sebagai Surah Makiyyah yang mana intipatinya banyak berkisar tentang tauhid dan sifat-sifat ketuhanan.

Secara asasnya, al-Qur`an dari sudut penurunannya terbahagi kepada dua jenis iaitu:

Pertama: Makki: Ayat yang diturunkan sebelum Hijrah.

Kedua: Madani: Ayat yang diturunkan selepas Hijrah. Samada diturunkan di Makkah mahupun di Madinah. Walaupun ianya diturunkan pada masa haji di Makkah dan sebagainya, masih dikira sebagai Madani, kerana diturunkan selepas hijrah.

Maka, surah Al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah iaitu yang diturunkan sebelum Hijrah. Surah Makkiyyah ada lapan puluh lima (85) surah semuanya. Imam al-Zakrkashi menyebutkan dalam kitab al-Burhan fi Ulum al-Qur`an bahawasanya, surah al-Ikhlas diturunkan di Makkah selepas surah An-Nas, iaitu surah yang ke-21 daripada 85 surah Al-Makkiyyah tersebut.

Imam Qatadah menyebutkan:

إن الله أسس السماوات السبع والأرضين السبع على هذه السورة " قل هو الله أحد

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengasaskan langit yang tujuh dan bumi yang tujuh ini di atas surah Qul Huwallahu Ahad ini” [al-Istizkar oleh Imam Ibn ‘Abd al-Barr]

Maksudnya, di atas asas ketauhidan dan kekuasaan Allah SWT sebagaimana yang disebut secara ringkasnya dalam surah Al-Ikhlas ini. Ini menunjukkan betapa surah Al-Ikhlas ini mengandungi pelbagai rahsia, makna ketauhidan dan asas-asas hubungan kehambaan dengan Allah SWT.