Nikmat Islam:
Pengaruh dan Kesan Mahabbah dan Ukhuwwah Islamiyyah
Malam tadi, di
Masjid Jamek Bahau, setelah solat tarawih dan majlis selawat, Sheikhna Sayyidi
Sheikh Yusuf al-Hasani menyentuh satu topik yang sangat memberi kesan kepada
para hadirin. Ia tentang mahabbah, atau kasih sayang, dan konsep tawakkal dan
rezeki. Bahagian mahabbah disampaikan dengan penuh mahabbah, sekurang-kurangnya
sebagai pendengar, merasai kemanisan kasih sayang yang sejagat dan sejati.
Islam hadir membawa
pelbagai nilai-nilai positif dan mulia, samada untuk individu mahupun kemasyarakatan.
Islam mengubah manusia daripada nilai-nilai negatif kepada positif. Manusia
bukan tidak bijak, tidak cerdik dan tidak berilmu, namun faktor pendorong yang
cukup kuat belum ada bagi manusia yang tidak mahu berubah ke arah yang lebih
baik.
Bahkan, kalimah
Jahiliyyah bukan merujuk kepada sebuah masyarakat yang jahil, iaitu yang tidak
mempunyai ilmu, kerana dari sudut kemasyarakatan, banyak pembangunan yang
berlaku, seperti dalam bidang perniagaan, sastera dan kebudayaan, dan
sebagainya. Bahkan, Makkah juga suatu tempat yang dikunjungi oleh manusia dari
setiap pelusuk dunia, sehingga dicemburui oleh Abrahah. Maka, sudah tentu
masyarakatnya sudah dipengaruhi oleh ilmu dan kebudayaan masyarakat asing dan
kejayaan mereka menjaga kebajikan tetamu-tetamu yang hadir ke Makkah juga
menunjukkan kepandaian mereka.
Justeru, istilah
Jahiliyyah tidak merujuk kepada tiada ilmu, tetapi lebih kepada tiadanya
pengaruh ilmu dalam kehidupan seharian, terutamanya unsur hidayah dan petunjuk
dalam budaya ilmu mereka. Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW sentiasa meminta
perlindungan kepada Allah s.w.t. daripada ilmu yang tidak bermanfaat, iaitu
yang tidak disertai oleh kekuatan untuk mengamalkan.
Unsur Mahabbah
Antara nilai positif yang dibawa oleh Islam adalah unsur kasih
sayang dan perpaduan. Itulah yang disebutkan oleh Sheikhna Sidi Yusuf
al-Hasani, dalam majlis yang penuh keberkatan tadi. Betapa nilai mahabbah yang
disemai oleh Islam, dalam jiwa kaum muslimin, membentuk satu unsur kekuatan
dalam mengamalkan apa yang mereka ketahui, bahkan menterjemahkan apa yang
mereka percaya.
Ayat yang kita sering dengar, mungkin kita mendengarnya
secara mudah, tetapi maknanya sungguh mendalam. Ia menggambarkan sebuah nikmat
yang besar dan anugerah yang agung. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama
Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu
ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan
di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara
dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu
semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat
Islam juga). Demikianlah Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk
hidayatNya. (Surah Ali Imran: 103)
Kalimah persaudaraan yang disebut dalam ayat ini sangat
mendalam maknanya, bahkan di sisi para ulama’, persaudaraan atas dasar agama
lebih kuat ikatannya berbanding persaudaraan darah daging semata-mata.
Persaudaraan atas dasar agama menjangkau kebangsaan dan sempadan daerah.
Menurut sebahagian ahli tafsir, ayat ini merujuk kepada
golongan Aus dan Khazraj yang dikatakan telah lama berperang sesama mereka atas
alasan-alasan dan faktor kecil semata-mata. Sifat kepuakkan dan cinta dunia
menebal dalam diri mereka sehingga disebabkan masalah keduniaan yang kecil
sahaja, mereka sanggup berperang sesama mereka.
Namun lihatlah, sebagaimana yang disebutkan oleh Sheikhna
Sidi Yusuf al-Hasani, setelah kehadiran Islam, bagaimana keadaan mereka? Dua
bangsa yang dahulunya bermusuhan dan sering bergaduh atas faktor keduniaan dan
pentingkan diri, akhirnya berubah menjadi bangsa yang penyayang dan
mengutamakan orang lain.
Ketika hadir golongan Muhajirin dari Makkah ke Madinah,
golongan Aus dan Khazraj ini menjadi pembantu yang setia kepada Muhajirin.
Bahkan, mereka sanggup membahagikan harta dan apa sahaja kepunyaan mereka,
kepada saudara-saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Ini adalah nilai
mahabbah yang disemai oleh Islam, lalu dengan demikian, mereka bersaudara atas
dasar Islam.
Pelajaran Dari Dunia Arab
Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani turut mengingatkan kita, sebagaimana
juga dalam majlis-majlis sebelum ini, tentang fenomena yang berlaku di dunia
Arab pada masa kini. Kita perlu bersama dengan mereka yang tertindas, iaitu
dengan doa. Ini kerana, kebersamaan itu hakikatnya adalah kebersamaan roh. Kita
perlu sentiasa mendoakan mereka di samping membantu mereka dengan apa sahaja
yang termampu. Berdoalah untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka,
terutamanya di tengah malam ketika bermunajat dan bertahajjud.
Semua perkara yang berlaku ada pelajaran yang boleh diambil.
Beliau adalah antara yang terlibat secara langsung dalam fenomena ini,
terutamanya di Syria, Lubnan dan yang terbaharu di Mesir. Isunya bukan lagi
tentang menuding jari kepada sesiapa, atau mencari salah siapa, tetapi
bagaimana ianya dapat ditamatkan segera, kerana darah kaum muslimin adalah
terlalu mahal. Kita berselisihan hatta bertelingkah sekalipun, jangan lupa
sempadan persaudaraan. Jangan keluar dari batasan persaudaraan yang diletakkan
oleh Islam.
Mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah, tidak akan
membawa kepada permusuhan. Mereka yang berpegang teguh dengan tali Allah
s.w.t., pasti akan memilih mudarat yang paling ringan dalam kalangan mudarat
yang ada. Bahkan, mereka yang berpegang dengan tali Allah s.w.t.. tidak akan
menolak mudarat dengan mudarat yang lebih besar, dan tidak akan mengutamakan
mengambil manfaat, berbanding menolak mudarat. Jika ada dalam kalangan muslimin
yang bersaudara itu, melepaskan pegangannya terhadap tali Allah s.w.t.,
janganlah ianya menjadi penyebab kepada semuanya akhirnya melepaskan pegangan
terhadap tali Allah s.w.t..
Wallahu a’lam…