6.22.2009

Penglibatan Golongan Sufi dalam Jihad Melawan Musuh-musuh Islam



Penglibatan Golongan Sufi dalam Jihad Melawan Musuh-musuh Islam

• Ahmad bin ‘Ashim Al-Antoki [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]

• Ibu Yusuf Al-Shaghuli: Terlibat dalam peperangan dengan Rom [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]

• Abu Ishaq bin Al-Fazari [ibid]

• Isa bin Abi Ishaq As-Sabi’ie [ibid]

• Yusuf bin Isbath [ibid]

• Abu Mu’awiyyah Al-Aswad (199 H)

• Abdullah bin Al-Mubarak (181 H). Beliau terlibat dalam peperangan menentang tentera Rom [Tarikh Baghdad oleh Al-Khatib Al-Baghdadi 10/157]

• Ibrahim bin Adham (162 H). Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera Byzantine malah meninggal dunia ketika menjaga di perbatasan perang [Al-Bidayah wa An-Nihayah 10/44]



• Hatim Al-Ashom. Beliau seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan dan meninggal dunia di tempat perbatasan perang di atas bukit Sarwad. [Siyar A’laam An-Nubala’ 11/484]

• Abu Al-Qashim Al-Qahthi: Beliau juga terlibat dalam peperangan melawan Byzantine bersama-sama dengan sebahagian ulama’ sufi yang lain [Ghayyah Al-Tholab fi Tarikh Halab 10/4591]

• Imam Raslan (Arsalan) Ad-Dimaysqi (m: 541 H): Beliau terlibat dalam peperangan di Syam khususnya dalam melawan tentera salib. Antara karya beliau adalah Risalah At-Tauhid.

• Imam Abu Al-Hasan As-Syazili (m: 656H): Beliau serta murid-muridnya terlibat dalam Ma’rakah Al-Manshurah (perang di Manshurah) pada tahun 647 H dalam melawan tentera Salib. [Abu Al-Hasan As-Syazili As-Shufi Al-Mujahid Al-‘Arif biLlah oleh Dr. Abdul Halim Mahmud: 60]

• Imam Abu Al-‘Abbas Al-Mursi r.a. (salah seorang murid Abu Al-Hasan As-Syazili). Beliau juga turut terlibat dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam seperti gurunya. Beliau adalah guru kepada Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari [Wizarah As-Thaqofah Al-Mishriyyah 7/371]

• Sultan Muhammad Al-Fateh As-Sufi Al-Hanafi Al-Maturidi. Banyak riwayat yang menceritakan sudut kesufian beliau. Beliau terlibat dalam membuka kota Konstantinopel daripada jajahan tentera Salib.

• Imam Al-Izz bin Abdil Salam (660 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang mashyur ytang hidup sezaman dengan Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi dan sebagainya. Beliau terlibat dalam peperangan ‘Ain Jalut pada tahun 658 H. Sudut kesufian Imam Izzuddin jelas kerana beliau mengambil khirqah sufi daripada Imam Syihabuddin As-Sahrwardi (632 H). [Husn Al-Muhadarah 1/315]

• Sultan Nuruddin Mahmud Zinki (m 569 H). Beliau seorang pemimpin Islam yang terlibat dalam melawan tentera Salib dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman mereka. Beliau sendiri seorang yang sangat rapat dengan golongan sufi dan menghormati golongan sufi. [Al-Kawakib Ad-Durriyyah 1/38] Beliau memuji golongan sufi dengan berkata: “Mereka (golongan sufi) adalah tentera Allah dan dengan doa merekalah kita berjaya menewaskan para musuh” [Al-Bidayah wa An-Nihayah 12/281]

• Sultan Solahuddin Al-Ayubi: Beliau terkenal sebagai seorang pahlawan dan pemimpin Islam yang membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman tentera Salib. Adapun dari sudut kesufian beliau, maka memang tidak dapat dinafikan. Malah, beliau bermesyuarat dengan para ulama’ sufi ketika berperang dengan tentera-tentera Salib.

• Imam Ali bin Maimun (917 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam banyak peperangan melawan musuh Islam [Syazrat Az-Zahab 8/81]

• Al-Amir Abdul Qadir Al-Jaza’iri As-Sufi: Beliau terlibat dalam peperangan di Algeria dalam melawan penjajahan. Sudut kesufian beliau sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bagi mereka yang membaca riwayat sejarah hidupnya.

• Al-Mujahid Muhammad Ahmad Mahdi (m:1885 M) Beliau mempelajari ilmu sufi sejak keci lagi lalu menjadi seorang murobbi sufi. Beliau terlibat dalam melawan tentera Inggeris ketika mereka menjajah Sudan. [Hilyah Al-Basyr 2/801]

• Al-Mujahid Umar Al-Mukhtar (m: 1931 M): Beliau seorang murobbi sufi bertariqat As-Sanusiyyyah. Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera penjajah khususnya di Libya lalu menemui syahid.

• As-Sayyid Muhammad Abdullah Hassan (m: 1920 H): Beliau seorang murobbi sufi tarikat As-Salihiyyah As-Syaziliyyah. Beliau terlibat dalam peperangan menentang penjajah yang cuba menjajah Somalia. [Silsilah Alam Al-Ma’rifah Al-Kuwaitiyya 223 oleh Dr. Abdullah Abdul Razak]

• Ahmad Arabi As-Sufi (1911M): Beliau terlibat dalam kebangkitan umat Islam dalam melawan penjajah. [Kitab Al-Islam wa Harakaat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s 42 oleh Dr. Syauqi Abu Khalil]

• Sheikh Farhan As-Sa’di”: Beliau terlibat dalam peperangan di Palestin menentang penjajah Inggeris. Beliau dari keluarga As-Sa’diyyah Al-Jibawiyyah, suatu keluarga sufi di Palestin [Majalah Syu’un Falastin no 124 m/s 22]

• Sheikh Izzuddin Al-Qassam (m: 1935 M): Beliau seorang sufi yang terlibat dalam jihad di Palestin. Beliau seorang sheikh bagi tarikat Syaziliyyah. Ayahnya juga seorang sufi yang sangat beriltizam dengan tarbiah sufi. [Kitab Al-I’lam As-Syarqiyyah oleh Zaki Muhammad Mujahid 2/139]

• Sheikh Muhammad Badruddin Al-Hasani: Beliau berketurunan Imam Al-Jazuli. Beliau merupakan seorang murobbi sufi tarikat Qadiriyyah. Beliau terlibat dengan kebangkitan umat Islam melawan musuh-musuh Islam khususnya di Syria. [Tarikh Ulama’ Dimasyq 1/472]

• Sheikh Muhammad Sa’id Al-Burhani (m: 1967 M) Beliau merupakan seorang murobbi tarikat Syaziliyyah di Damsyiq. Beliau terlibat dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam dan penjajah di Syria [Al-‘Alaam 6/145]

• Sheikh Abu Al-Yasar ‘Abidin An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam perperangan melawan musuh Islam di Syria [Tarikh Ulama’ Dimasyq 2/969]

• Sheikh Sufi Ali Ad-Daqar (m: 1943 M): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam pegerakan kebangkitan masyarakat Arab [Al-Islam wa Harakat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s147]

• Sheikh Izzuddin Al-Jaza’iri (cucu Sheikh Abdul Qadir Al-Jaza’iri): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan musuh Islam [Tarikh At-Thaurah As-Suriyyah m/s 619]

• Sheikh Muhammad Al-Hamid An-Naqsyabandi (m: 1969 M): Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan penjajah dan musuh Islam [Silsilah A’laam Al-Muslimin Dimasyq m/s 37]

• Muhammad Abdul Karim Al-Khattobi: Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat melawan penjajah Perancis [Al-Maushu’ah Al-‘Askariyyah]

• Sheikh Manshur Asyramah An-Naqsyabandi: Seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan di Chehnya dengan melawan tentera Rusia pada tahun 1971 M.

• Sheikh Khos Muhammad Afendi An-Naqsyabandi: Beliau juga terlibat dalam peperangan di Chehnya.

• Sheikh Fadhl Umar Mujaddidi An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam jihad melawan British pada tahun 1921 M.

• Sheikh Arsyad Thawil Al-Bantani (m: 1935 M): Beliau seorang ulama’ yang terlibat dalam jihad di Banten [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]

• Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani: Beliau seorang ulama’ sufi yang turut terlibat dengan jihad melawan musuh-musuh Islam [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]

• Sheikh Raja Haji: Beliau antara tokoh sufi di tanah Melayu yang terlibat melawan penjajah di Nusantara

Dan sebagainya….

6.14.2009

Al-Fatihah kepada Al-Marhum Ad-Da'ie



Al-Marhum Doktor Fathi Yakan
telah kembali ke hadrah Allah s.w.t..
Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh beliau
dan membalasi usahanya dengan sebaik-baik ganjaran.

Amiin...

Al-Fatihah ila Hadrati Al-Marhum...

6.06.2009

Risalah Mahabbah: DIA Lebih Mengetahui… Malah Hanya Dia yang Maha Mengetahui




Andai anda terasa bahang panas hidupmu, lalu terasa sukar menghadapi kepanasnya, maka ingatlah kedinginan salju juga bisa membunuh –dengan kehendak Allah- dengan sifat membekunya. Andai anda letih dengan keringnya jalan hidupmu, kenanglah hujan juga bisa membanjirkan sebuah daerah lalu memusnahkan segala isinya –dengan ketentuanNya-.

Andai anda terhimpit dengan kemiskinan, ingatlah hidup orang-orang kaya juga sering terdedah kepada ramai penghasut dari kalangan teman dan lawan. Hakikat kelapangan itu bukan pada apa yang anda pandang daripada cerita hidup manusia di sana sini, tetapi daripada penghayatan anda bahawasanya Allah s.w.t. lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirimu berbanding dirimu sendiri.

Ungkapan paling ringkas untuk menyimpan makna perkataan tersebut adalah, redha dengan Allah s.w.t., dalam setiap ketentuanNya. Redha… Ungkapan yang mengandungi makna yang tidak semudah menyebut lafaznya.



Bagaimana seorang ibu menegah bayinya daripada makan makanan yang lazat-lazat itu suatu penyiksaan terhadap bayi tersebut. Itu bukanlah seorang ibu yang mempunyai hakikat keibuan. Bagaimana Allah s.w.t. menegahmu daripada apa yang anda ingini adalah suatu penyiksaan terhadapmu selaku hambaNya (yang beriman), melainkan sang hamba sendiri tidak faham tujuan di sebalik penegahan tersebut? Hanya kebiadabanmu yang memberontak di hadapan ketentuan Allah s.w.t. yang membuat anda terus tersiksa dalam menghadapi takdirNya.

Masalah besar adalah pada, kita tidak faham Allah s.w.t.. Masalah lebih besar adalah, dalam anda tidak faham Allah s.w.t., anda tidak berbaik sangka terhadap Allah s.w.t.. Makin buruk sangka itu membawa kepada makin merasai hidup ini terlalu pahit. Makin baik sangka itu jualah yang membawa kepada makin merasai manisnya kehidupan.

Laluan hidup ini hanya satu. Dari Allah s.w.t. dan menuju Allah s.w.t.. Destinasi kita adalah asal kita. Kalau kita fokus kepada “kerana apa” kita terus berjalan menuju destinasi, maka kita tidak disibukkan dengan rintangan sana sini di sepanjang perjalanannya. Seberat-berat rintangan jalan menuju Allah s.w.t. adalah kematian yang mempercepatkan kita untuk sampai kembali kepada Allah s.w.t.. Nah, redha dengan ketentuan Allah s.w.t. pun sampai kepada Allah dan yang memberontak terhadap Allah s.w.t. juga kembali kepada Allah s.w.t..

Masalahnya bukan pada sebab yang menyebabkan kamu kembali kepada Allah s.w.t, tetapi bagaimana kamu ketika kembali kepada Allah s.w.t.. Selaku hamba atau selaku pendusta? Kata mulut mencari redha, tetapi diri sendiri tidak mampu redha. Tanpa meredhai, bagaimana diredhai?

Hidup ini untuk anda redha terhadap ketentuan Allah s.w.t. dan terus beradab di hadrahNya. Bahagialah orang yang tahu Allah s.w.t. Maha Mengetahui lalu meredhai setiap ketentuanNya. Malanglah orang yang tahu Alah s.w.t. Maha Penyayang namun masih sentiasa membangkang ketentuan Allah s.w.t..

Jangan bicara tentang erti perjuangan, kalau kita sendiri tidak tahu kerana apa kita berjuang. Hidup ini perjuangan. Namun, kalau tidak tahu tujuan kita hadapi hidup, maka, untuk apa kita teruskan hidup? Memahami makna di sebalik sebuah perjuangan walaupun gagal dalam perjuangan itu lebih berharga daripada berjaya mendapat apa yang diperjuangkan tanpa mengetahui makna di sebalik perjuangan kita. Apatah lagi, kejayaan hidup adalah pada kejayaan menghayati maknanya secara hakikinya lalu merealisasikannya sebelum menemui kematian.

Makna hidup kita adalah kita hamba Allah s.w.t.. Tujuan hidup kita adalah menunaikan kehambaan kita kepadaNya. Mati dan tahu kerana apa kita mati itu lebih baik daripada hidup namun tidak tahu kerana apa kita hidup. Apa lagi sangat berharga orang yang hidup dan tahu kerana apa dia hidup dan bakal mati serta bakal dihidupkan kembali. Inilah penghayatan yang sejati.

Senyum, menangis, susah, senang, gembira, duka, benci, suka dan sebagainya, adalah antara sifat-sifat kemanusiaan manusia. Masalahnya bukan pada sifat-sifat tersebut, tetapi kerana apa kita bersifat dengan sifat-sifat tersebut. Andai menghayati perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. dalam diri anda, dengan sifat-sifat tersebut, maka anda bersama Allah s.w.t..

Raslullah s.a.w. jua pernah tersenyum, namun senyuman Baginda s.a.w. kerana Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. juga pernah menangis, tetapi tangisan Baginda s.a.w. adalah penghayatan keperluan diri kepada Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersedih, namun sedih Baginda s.a.w. dengan penghayatan bahawa ianya menzahirkan kelemahan diri di hadap Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. jua pernah marah, namun marah Baginda s.a.w. kerana Allah s.w.t..

Adapun kita, gembira kita pun daripada kelalaian dan bukan kerana Allah s.w.t., maka bagaimana sedih kita boleh lahir daripada penghayatan kebersamaan Allah s.w.t. dan kerana Allah s.w.t.?

Kerana itulah kita perlukan nur… Cahaya Allah s.w.t. yang bisa menerangkan hakikat hidup kita. Makna hidup semuanya ada dalam lubuk hati kita, namun kita terhijab daripadanya dengan hawa nafsu kita yang ingin menjalani kehidupan dengan makna yang berbeza. Mulakanlah dengan melawan hawa nafsu yang licik. Ia wujud bukan setakat dalam maksiat, namun juga dalam taat. Malah, Rasulullah s.a.w. paling takut tipu daya nafsu dalam ketaatan kerana ianya gagal dikesan oleh kebanyakkan orang yang terhijab dengan kesolehan zahir mereka yang banyak taat dan berbuat kebaikan.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku paling takut syirik kecil iaitu riya’”. Riya’ itu dalam ketaatan wahai teman-teman. Allah… Selamatkanlah kami daripada syirik kecil ini yang berpunca daripada ujub (rasa diri baik). Dalam ilmu boleh terbit ujub. Dalam amal boleh terbit ujub. Dalam akhlak mulia pun boleh terbit ujub. Hanya dengan bantuan Allah s.w.t. sahaja kita dapat bebaskan diri daripada ujub ini.

Setelah selesai ujub, maka anda akan melihat, ALLAH, di sebalik gerak dan diammu. Dialah yang Maha Wujud secara hakiki dan abadi. Dialah Maha Pembuat secara hakiki dan abadi. DIALAH ALLAH…

Bila sudah lihat ALLAH, hanya ALLAH, maka anda akan tahu kerana apa anda hadapi kehidupan ini. Malah, anda akan merasa kerdilnya diri di hadapan rahmat dan keampunanNya. Dengan melihat keagungan redhaNya, anda tidak akan berkira lagi untuk meredhaiNya dalam setiap ketentuanNya. Maka, mulalah melangkah menujuNya bersama-sama dengan mereka yang sedang melangkah menujuNya.

Moga Allah s.w.t. membimbing kita dan membawa kita kepada pembimbing yang boleh membawa kita kepadaNYa. Amin…

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari


‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah

6.01.2009

Kunci Penghayatan Hidup Rabbani



Ramai manusia melihat kehidupan dari segenap sudutnya. Ada yang melihat kepayahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat kedukaan. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat menikmatinya. Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan syahwat dan kepentingan. Untuk apa melihat hidup itu pada senang atau susahnya, sedangkan setelah susah hadirnya senang, dan setelah senang hadirnya susah. Begitulah silih berganti.

Malah, senang dunia tidak selamanya, begitu jua susahnya. Akhirnya sang insan yang sibuk dengan susah dan senangnya hidup di dunia, mati meninggalkan dunia. Itu semua hanyalah persepsi kebudak-budakan semata-mata yang mengingini khayalannya menjadi mimpi yang nyata.

Hidup ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti, bukan membina makna realiti sendiri. Hakikat hidup sudah ditentukan. Makna hidup sudah dijelaskan. Jika terus memilih selain makna dan hakikat hidup yang telah dijelaskan oleh Tuhan, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki. Semakin kita menuju “realiti” ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar hidup ini.


Begitulah insan yang sentiasa terkesan samada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan. Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat r.a. yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata.

Memang benar. Indah bicara dari menghadapinya. Namun, inilah realitinya. Bagaimana Saidina Bilal r.a. mampu memikul batu berat di bawah terik mentari hanya dengan menyebut ahad…ahad. Kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentu sanggup memikul dugaan kerana Tuhan. Jauh benar penghayatan aqidah kita berbanding penghayatan aqidah mereka yang dididik oleh Saidina Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.

Nilai aqidah itu pada penghayatannya, bukan pada perbahasannya. Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza, tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka. Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-sholeh) khususnya para sahabat r.a., adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri.

Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehidupan. Bagaimana generasi sahabat r.a. khususnya, tidak pernah kenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka? Ramai orang kata, kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam. Ada orang juga kata, kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka. Benar bagai dikata oleh mereka yang berkata-kata. Tetapi bukan sekadar itu wahai saudara-saudara. Kunci utama kekuatan mereka adalah pada penghayatan mereka terhadap aqidah mereka. Kuncinya adalah pada kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.

Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna hidup yang lebih besar. Ianya adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian. Ianya lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga sifat ujub yang tercela. Qudwah mereka adalah Saidina Al-Mustafa wa Habibina Al-Mujtaba Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Mereka melihat bagaimana Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa. Apa penghayatan Baginda Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dalam memperbanyakkan taubat? Nah, kelazatan dan penghayatan itu diwarisi oleh para sahabat r.a. secara halus meresap dalam tarbiah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.

Kunci utama bagi seseorang mewarisi hal hati (ahwal) dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan. Oleh sebab itulah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menyuruh para sahabat r.a. mencintai Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- lebih daripada diri mereka sendiri dan segala-galanya. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan ahwal (hubungan hati seseorang dengan Allah) daripada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan cinta kepada Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.

Jalan untuk mencintai Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- iaitulah para sahabat r.a. dan keluarga Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ (yang mewarisi ilmu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para solihin (yang mewarisi amalan Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para murobbi (yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-) dan sebagainya. Ini adalah kecintaan kerana Allah s.w.t. yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Inilah antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman.

Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula. Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa takut kepada murka Allah s.w.t..

Kemuncak proses mengecapi penghayatan aqidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah ALLAH s.w.t.. Kecintaan kepada Allah s.w.t. ini bukan suatu proses yang mudah semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya (Astaghfirullah min ad-dakwa).

Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah s.w.t. iaitulah mencintai para solihin, para murobbi, para ahlul-bait, para sahabat r.a. dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah s.a.w.. Dengan kecintaan kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- melebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. dengan bantuanNya.

Cinta kepada Allah s.w.t., memang benar ianya suatu anugerah. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwanya, memilikinya. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasainya. Ianya pilihan dalam pilihan. Ianya anugerah dalam hadiah. Ianya kurniaan dalam pemberian. Maka, mintalah cinta kepadaNya hanya daripadaNya.

Dengan mencintai Allah s.w.t., seseorang akan menghadapkan fokusnya hanya kepada Allah s.w.t.. Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cintaNya. Itulah sebenarnya hakikat apabila sudah mulai mencinta. Apa sahaja diredahi demi redha dan cinta. Pandangan redha yang dicinta adalah idaman setiap sang pencinta.

Andai benar kamu mencari redha Allah, mengapa mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya? Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redhaNya? Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redhaNya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuanNya, namun kamu memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka?

Bukankah seseorang yang Allah s.w.t. cinta, makin kuat diuji? Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta? Mengapa mengelukh ketika dikurniakan simbol cinta? Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta? Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya? Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Tuhan dan memberontak bila diberi ujian.

Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta. Lalu, setiap hidup mereka dilalui dengan penuh redha sebagai sang hamba. Mereka melihat agungnya “nilai” di sebalik ujian berbanding beratnya ujian. Mereka melihat besarnya “tujuan” mereka dalam redha kepadaNya, iaitulah demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka.

Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan. Bagaimana terungkap di mulut para pencinta: “sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…”, kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta. Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta.

Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sangat kagum dengan sikap orang yang beriman yang sentiasa mendapati kebaikan dalam hidup, samada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Malah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sendiri sebagai simbol teragung dalam menterjemahkan makna kelapangan hidup, dalam hidup Baginda - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.

Teringat kisah di mana linangan air mata mulia Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menitis keluar dari kedua mata Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang mulia, ketika pemergian anaknda Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bernama Ibrahim (r.a.). Lalu para sahabat r.a. bertanya tentang titisan air mata tersebut, adakah ianya tanda sedih atau bagaimana. Lalu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “ini adalah rahmat (kasih sayang)”. Apa makna disebalik itu? Maknanya, hatta menangis itu sendiri dalam penghayatan Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah rahmat daripada Allah s.w.t., bukan suatu kesempitan, apatah lagi segala ketentuan dalam kehidupan Baginda - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- mengecapi rahmat dan kelembutan Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya sehingga air mata itu juga dirasakan nikmat daripada rahmat Allah s.w.t.. Ini hakikat penghayatan iman dan taqwa yang mendalam.

Inilah penghayatan aqidah yang murni, yang perlu dirasai oleh setiap orang beriman. Maka, carilah para pembimbing yang dapat membantu kita mewarisi penghayatan ini daripada generasi terdahulu melalui tarbiah dan qudwah. Indahnya hidup dengan melaluinya berbekalkan kelazatan iman dan penghayatan tauhid yang murni. Fokuslah kepada keagungan nilai tujuan, nescaya lapang bagimu setiap jalan menujunya.

Wallahu a’lam

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah