10.02.2012

Pendekatan Dakwah dan Islah Golongan Sufi



Pendekatan Dakwah dan Islah Golongan Sufi

Golongan sufi terlibat dalam bidang dakwah dan islah (pemurnian) dalam masyarakat Islam dalam tempoh masa yang lama. Bahkan, berdasarkan catatan sejarah, dakwah golongan sufi dan tarbiah mereka merupakan antara dakwah yang terawal dalam bentuk berkelompok dan masih bertahan sehingga hari ini.

Sejak ianya dikembangkan di zaman salaf oleh tokoh-tokoh sufi terkemuka seperti Imam al-Hasan al-Bashri r.a., Imam Zun Nun al-Misri r.a., Imam al-Saqathi r.a., Imam Junaid al-Baghdadi r.a. dan sebagainya, sehinggalah membentuk tarbiah berkelompok dalam skala yang lebih besar yang dikenali sebagai tarikat sufi yang dipelopori oleh para murobbi sufi terkemuka seperti Imam `Abd al-Qadir al-Jailani r.a., Imam Abu al-Hasan al-Syazuli r.a., Imam Baha’uddin al-Naqsyabandi r.a., Imam Ahmad al-Rifa’ie r.a. dan sebagainya, dakwah dan tarbiah golongan sufi terus mendapat tempat dalam masyarakat Islam walaupun sering mendapat tohmahan daripada musuh-musuh luaran mahupun sabotaj daripada musuh-musuh dalaman.

Sudah pasti, dakwah dan tarbiah golongan sufi mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang menyebabkan ianya terus subur berkembang dalam masyarakat sehinggalah hari ini, bahkan dinilai sebagai gerakan dakwah yang paling lama dalam sejarah masyarakat Islam.

Antara pendekatan dakwah yang digunakan oleh para murobbi sufi secara umum adalah:-

Pertama: Majlis Ta’lim dan Zikir

Majlis Ta’lim dan Zikir di masjid-masjid, musolla-musolla, sahah (dewan) atau zawiyyah. Majlis ta’lim (pengajian ilmu) dan zikir berkelompok ini selalunya dipimpin oleh para ulama’ sufi yang mempunyai kelayakan dan seterusnya izin dalam tadris (mengajar) dan tarbiah sebagaimana ianya diketahui dalam tradisi ulama’ Islam. Selalunya, masyarakat awam akan menghadiri majlis-majlis pengajian ilmu-ilmu agama seterusnya mengikuti majlis zikir setelah pengajian tersebut lalu akhirnya bersahabat dengan murobbi sufi tersebut.

Pendekatan ini merupakan pendekatan kebanyakan para ulama’ sufi di zaman As-Salaf As-Sholeh di mana mereka mempunyai dua majlis iaitu majlis ilmu dan majlis tarbiah sebagaimana dilakukan oleh Imam Junaid Al-Baghdadi. Kemudian, ianya dikembangkan oleh Imam Abdul Qadir Al-Jailani sehingga seterusnya berkembang dalam madrasah-madrasah tarbiah sufi yang dikenali sebagai tarikat sufi.

Kedua: Majlis Maulid dan Haul

Majlis Maulid dan Haul: Ia merupakan suatu pendekatan dakwah yang digunakan oleh para murobbi sufi dalam mendekatkan masyarakat kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat r.a. dan para ulama’ besar. Majlis maulid secara khusus adalah majlis memperingati kelahiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam di mana di dalam majlis tersebut mengandungi bacaan Al-Qur’an, puji-pujian kepada Allah s.w.t.., bacaan selawat dan puji-pujian kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, bacaan sirah nabawiyyah dan jamuan makanan yang mana pengisian tersebut mempunyai sandarannya daripada nas-nas syarak.

Adapun Haul pula adalah majlis yang dilakukan untuk memperingati ulang tahun pemergian seseorang tokoh ulama’ yang besar dalam usaha untuk mengikut dan mencontohi teladan yang baik daripada kehidupan ulama’ tersebut. Sebagaimana disebutkan, ketika diingati orang-orang soleh, maka turunlah rahmat.

Majlis-majlis sebegini mempunyai kekuatan dalam menyatukan umat Islam sehingga menjangkau batasan budaya, bangsa, perbezaan taraf hidup, perbezaan pendirian dan fahaman politik, perbezaan mazhab dan sebagainya. Kesimpulannya, boleh didapati majlis-majlis Maulid dapat menghimpun ramai manusia yang mempunyai seribu satu latar perbezaan. Sekerap mana majlis-majlis sebegini dilakukan, maka sekerap itulah ramai masyarakat Islam berhimpun secara harmoni atas semangat kasih sayang sehingga menyemai sifat persaudaraan dalam jiwa mereka yang hadir. Maka, para ulama’ dan ilmuwan yang menyampaikan tazkirah, syarahan dan nasihat boleh menyampaikannya secara lebih meluas.

Majlis yang diisi dengan pengisian mahabbah (kasih sayang) sebegini semestinya mampu menghidupkan jiwa yang telah ketandusan makna hubungan kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Haruman rohani ukhuwwah tersebar dalam para hadirin lalu membuatkan mereka menghayati rasa kebersamaan sebagai Al-Ummah di bawah payung kecintaan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

Ketiga: Suhbah

Antara pendekatan dakwah para ulama’ sufi adalah dengan menyemarakkan budaya suhbah sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sesama para sahabat r.a.. Suhbah bukan sekadar hubungan antara ketua dengan pengikutnya, tetapi ia lebih berbentuk persahabatan antara dua teman yang diikat oleh kasih kerana Allah s.w.t.. Intipati konsep suhbah yang utama adalah di mana seseorang murobbi akan berinteraksi dengan para murid melalui kehidupan mereka di samping para murid akan masuk ke dalam ruang hidup murobbinya, sebagaimana Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam memasuki kehidupan para sahabat r.a. dan para sahabat r.a. juga menghampiri kehidupan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam lalu menjadikan Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai qudwah (contoh) dalam menjalani hidup masing-masing.

Pendekatan Suhbah adalah pendekatan yang membuang sempadan protokol dan sebagainya antara seorang yang memimpin dengan mereka yang memimpin. Hanya, murid-murid diajarkan konsep adab kepada murobbi dalam interaksi mereka kepadanya sebagaimana para murobbi juga berpegang teguh dengan adab-adab sebagai murobbi dalam berinteraksi dengan murid-muridnya.  Dalam konsep Suhbah inilah tersematnya konsep qudwah di mana para murid boleh menyaksikan bagaimana murobbi mempraktikkan ajaran Islam dan penyucian jiwa sebaiknya dalam kehidupannya lalu mereka berusaha untuk mempraktikkanya dalam kehidupan mereka sebaiknya.

Demikianlah antara keistimewaan bentuk dakwah dan tarbiah golongan sufi secara umum, di samping beberapa bentuk yang lain yang lebih khusus dan cabang. Ini menunjukkan bahawasanya, golongan sufi mempunyai kaedah yang tersendiri dalam berdakwah dan memperbaiki kepincangan dalam masyarakat Islam sejak zaman-berzaman. Sejarah telah menyaksikan siri kejayaan dakwah dan tarbiah mereka sebagaimana dicatatkan oleh para ulama’ muktabar melalui tinta emas mereka.

Ini menunjukkan betapa dakwah sufi dan tarbiah mereka perlu terus dipelihara dan dikembangkan sesuai dengan perkembangan semasa agar ianya terus menjadi bentuk dakwah yang baik dalam masyarakat Islam. Memang sejak dari dulu lagi, golongan sufi dicemburui oleh mereka yang mencemburui mereka dan diserang oleh orang-orang yang jahil, natijah menghukum perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan manhaj sufi muktabar, atau dek kerana kekurangan ilmu mereka, maka hendaklah kefahaman tentang dakwah dan manhaj sufi ini terus diketengahkan secara jelas dan sahih dalam masyarakat Islam. Sesungguhnya, manusia itu memusuhi apa yang dia jahil mengenainya. Wallahu a’lam.

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy