9.30.2013

Bidang Pemikiran (‘Aqliyyah) dan Cabaran Semasa




Bidang Pemikiran (‘Aqliyyah) dan Cabaran Semasa

Sesetengah pihak menganggap remah pembangunan bidang pemikiran dan falsafah. Samada mereka keliru dengan perkembangan yang berlaku di sekeliling atas nama kemodenan, ataupun mereka terperangkap dengan salah faham tertentu atas nama keagamaan (al-tadayyun). Ia membawa kepada hilang keseimbangan dalam bidang pemikiran masyarakat samada kecenderungan berlebih-lebihan dalam menggunakan akal sehingga tidak berteraskan kerangka dan kayu ukur yang muktamad dan tepat, ataupun kecenderungan sambil lewa terhadap penggunaan akal.

Jika kita membincangkan isu ini dari sudut wilayah atau cakupan ilmu pengetahuan itu sendiri, kita dapati memang ada usaha pemisahan antara bidang ilmu pengetahuan dengan falsafah, kerana di sisi mereka yang memisahkan antara kedua-duanya, cakupan ilmu pengetahuan lebih terbatas kepada alam fizikal sahaja, iaitu berdasarkan pengalaman empirikal atau didapati secara rasional semata-mata, berbanding cakupan bidang falsafah yang mencakupi alam metafizik (supernatural).

Adapun dalam tradisi Islam, ilmu tidak dibahagikan berdasarkan cakupan atau ruang lingkupnya, kerana di sisi Islam, agama (al-din) sendiri merupakan suatu "ilmu", walaupun berasaskan wahyu (bukan terbatas kepada empirikal dan logikal semata-mata) dan ruang lingkupnya turut mencakupi alam di sebalik fizikal ini (alam al-ghaib).  Oleh sebab itulah, al-Imam al-Ghazali RA sendiri membahagikan ilmu antaranya kepada ilmu syar'iyyah iaitu ilmu yang berasaskan dan berkaitan dengan wahyu, dengan ilmu 'aqliyyah, iaitu ilmu yang berasaskan atau berkaitan dengan akal rasional atau empirikal.

Kepentingan Tradisi Berfikir 

Bidang pemikiran atau tradisi berfikir merupakan suatu bahagian yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Pembangunan dan perkembangan bidang pemikiran merupakan kunci kepada pembangunan sesebuah tamadun. Dalam sejarah sendiri telah menunjukkan betapa tamadun-tamadun purba terdahulu dibangunkan di atas kemajuan bidang pemikiran yang memimpin perkembangan bidang ilmu pengetahuan.

Sesebuah masyarakat yang tidak mengembangkan bidang pemikirannya tidak akan mampu memimpin perkembangan ilmu pengetahuan, bahkan selama-lamanya ia akan menjadi pengikut kepada masyarakat yang lebih "pandai berfikir". Kemajuan tradisi berfikir atau bidang pemikiran yang dimaksudkan bukanlah suatu proses berfikir yang biasa, tetapi lebih kepada berfikir secara falsafah (philosophical thinking), iaitu suatu usaha berfikir secara mendalam, sistematik dan sejagat. Dalam tradisi Islam, ia dikenali sebagai al-nazhor atau proses berfikir secara bersungguh-sungguh ini. Ada tiga ciri-ciri utama berfikir secara falsafah atau al-nazhor ini iaitu:[1]


  • Berfikir secara mendalam sehingga ke asal-usul, akar umbi atau hakikatnya.
  • Berfikir secara sejagat (universal) iaitu mengikut pengalaman manusia secara umum.
  • Berfikir secara integral (bersepadu), iaitu mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Ia merupakan suatu perkara yang sangat penting kerana ianya merupakan asas kepada perkembangan ilmu pengetahuan seterusnya asas kepada sebuah pembangunan ketamadunan.

Perkembangan Tradisi Berfikir

Walaupun dalam sejarah telah mencatatkan bahawa manusia telah lama menggunakan akal pemikiran dan proses berfikir, sejak zaman Nabi Adam AS lagi yang mana tradisi berfikir tersebut dipandu oleh pedoman wahyu, namun ada bentuk perkembangan dalam tradisi berfikir yang berkait rapat dengan penyusunan kaedah berfikir secara sistematik.

Sebagai contoh, perkembangan kaedah berfikir secara logikal, walaupun ianya sudah diamalkan oleh umat manusia, namun ianya disusun secara ilmiah dan sistematik oleh Aristotle yang mana ianya diwarisi oleh tamadun Rom kemudian masuk ke dalam tamadun Islam seawal kurun ke-2 Hijrah. Namun, ini tidak menafikan peranan tamadun China dan India juga dalam mengembangkan sebahagian asas-asas berfikir secara logikal ini.

Pemikiran logik yang dikembangkan oleh Aristotle dikenali sebagai al-Mantiq al-Qadim atau Logik Klasik atau al-Mantiq al-Suri atau Logik Formal. Ia menggunakan kaedah al-Qiyas (silogism) atau rasional-deduktif. Setelah itu, tamadun Islam berperanan mengembangkan Logik Klasik ini secara meluas terutamanya di tangan Ibn Sina dan sebagainya, bahkan berjaya dimurnikan daripada pengaruh falsafah Yunani yang pincang oleh al-Imam al-Ghazali RA melalui karya beliau Mi’yar al-‘Ilm fi Fan al-Mantiq. Setelah itu, ilmu Mantiq dalam dunia Islam merujuk kepada perbahasan-perbahasan yang disusun oleh al-Imam al-Ghazali RA.

Namun, pada akhir kurun-19 iaitu pada Zaman Kemodenan di sisi tamadun Barat, masyarakat lebih menekankan aspek sains dan teknologi kerana dipengaruhi oleh pelbagai aliran yang menekankan aspek kemudahan dalam bidang kehidupan. Lalu, mereka lebih menekankan kaedah empirikal-induktif (al-Istiqra’) sehinggalah terbentuk aliran logik moden (al-Mantiq al-Maddi) di samping aliran logik simbolik (al-Mantiq al-Ramzi)[2] yang mempengaruhi bidang Matematik.

Dalam pada itu juga, turut berkembang pemikiran Lateral (Lateral Thinking atau Tafkir Janibiy) yang dikaitkan kepada Dr. Edward de Bono. Ia merupakan kaedah berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan permasalahan dengan keluar daripada kaedah berfikir kebiasaan yang rasional. Sebahagian pihak mengandaikan bahawa pemikiran Lateral ini ialah aliran neo-Sophisme dari sudut relativitinya.

Kaedah pemikiran Lateral ini terbatas kepada persoalan profesionalisme dalam sistem ekonomi kapitalisme, khususnya kepada aspek-aspek kejuruteraan, pengiklanan, sukan, masakan dan sebagainya. Ia tidak mencakupi ultimate problems atau permasalahan-permasalahan asasi seperti hakikat kewujudan dan sebagainya. Ia lebih kepada pemikiran yang menekankan kaedah penyelesaian masalah (problem-solving) dalam bidang kebendaan semata-mata.

Kaedah pemikiran Lateral ini sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Edward de Bono bersifat anti-logik[3] kerana menganggap pemikiran logik (vertikal) sebagai suatu pemikiran bercorak sempit dan menuju ke satu hala tuju sahaja, sedangkan pemikiran Lateral ini (paralel) tidak sedemikian kerana tidak dibataskan kepada hukum cause-effect (sebab-musabab) yang ketat. Dari banyak sudut, pemikiran ini mempunyai persamaan dengan falsafah relativisme, skeptisisme dan sebagainya kerana tidak mengiktiraf suatu nilai yang tetap. Ia juga lebih mementingkan nilai-guna seperti pragmatisme tanpa mengiktiraf nilai baik dan buruk.

Islam dan Tradisi Berfikir

Islam merupakan suatu risalah ketuhanan yang disampaikan kepada umat manusia melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan sudut kehambaan mereka, lalu dengan kesempurnaan tersebut, mereka menyempurnakan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Maka, manusia diciptakan sebagai khilafah iaitu wakil kepada Allah SWT untuk memakmurkan bumi ini dengan kebaikan yang diajarkan oleh Allah SWT, yang mana aspek khilafah ini merupakan sebahagian daripada kehambaan (ubudiyyah) mereka kepada Allah SWT. Bagi tujuan khilafah inilah, justeru Islam turut mementingkan tradisi berfikir dan penggunaan akal secara baik dan seimbang.

Bahkan, dalam panduan Islam, akal bukan sahaja penting dari sudut pembangunan sudut kebendaan sahaja, bahkan ianya penting untuk mencapai sebuah aqidah yang jazim (putus atau konkrit) dalam diri seseorang muslim, yang menjadi sumber kepada kesempurnaan diri manusia. Akal ialah jalan untuk mengenal Allah SWT melalui para makhluk-Nya, iaitu untuk menghayati kewujudan, kekuasaan, keesaan dan kesempurnaan Allah SWT, Tuhan sekalian alam, melalui makhluk-makhluk tersebut.

Maka, akal ialah suatu yang sangat penting dalam diri manusia, bahkan tradisi berfikir dipentingkan juga oleh ajaran Islam. Oleh sebab itulah, dalam perkembangan keilmuan Islam, para ulama’ Islam turut mengembangkan bidang aqliyyah atau ilmu berkaitan akal, samada secara terpisah/terasing seperti membahaskan ilmu mantik ataupun secara bersepadu seperti membahaskan hukum akal dalam ilmu kalam.

Bidang ilmu akal sendiri mempunyai pengaruhnya tersendiri dalam tiga ilmu utama Islam iaitulah ilmu aqidah Islam (lalu menjadi ilmu kalam), ilmu fiqh Islam (sehingga membentuk ilmu usul fiqh dan sebagainya) dan ilmu tasawuf Islam (sehingga membentuk ilmu tasawuf zauqi atau isyari).

Bidang Aqliyyah dalam Perkembangan Semasa

Di dunia Barat, walaupun masyarakatnya sangat mementingkan perkembangan bidang sains dan teknologi, tetapi mereka tidak pernah meminggirkan bidang aqliyyah atau lebih disebut sebagai bidang falsafah dan pemikiran. Bahkan, di pelbagai universiti di Barat, bidang pemikiran dan falsafah menjadi bidang yang sangat utama. Ini kerana, agenda Sekularisasi bidang pengetahuan sangat kuat di dunia Barat, lalu untuk menangani pengaruh bidang agama, masyarakat Barat memerlukan bidang falsafah terutamanya untuk mengembangkan ideologi-ideologi dalam bidang pemikirannya.

Bahkan, kita dapati, tradisi pembelajaran di dunia Barat terutamanya di institusi pengajian tinggi turut dipengaruhi oleh bidang falsafah sehingga membentuk tahap pembelajaran bertaraf Doctor of Philosophy atau lebih dikenali sebagai PhD. Pada awalnya, ia berkait rapat dengan bidang falsafah dan pemikiran sehinggalah akhirnya penggunaannya lebih meluas sehingga mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain.

Dalam tradisi Islam pula, sejak berkembangnya ilmu mantik dan ilmu kalam dalam masyarakat Islam, bidang aqliyyah ini terus dimajukan oleh sebahagian para ulama’ Islam. Kita boleh dapati betapa ilmu kalam terus berkembang sehingga ke suatu tahap di mana perbahasan-perbahasannya sudah merangkumi bidang falsafah bahkan bidang falsafah ilmu atau epistemology of knowledge. Begitu juga dengan ilmu mantik dan ilmu hikmah yang turut mendapat perhatian oleh sebahagian para ulama’.

Namun, sejak beberapa kurun terakhir ini, umat Islam diserang wabak aliran pemikiran yang keliru, lalu mereka menyerang perkembangan bidang aqliyyah ini atas nama kefahaman agama secara salaf. Mereka yang mengaku sebagai Salafiyyah (padahal Wahabiyyah kerana sekadar mengikut pemikiran Muhammad Abdul Wahab) ini menimbulkan kalamophobia atau penyakit memomokkan ilmu kalam sunni, bahkan mengaitkan segala ilmu kalam samada versi golongan Asha’irah mahupun Maturidiyyah sebagai aliran aqidah Mu’tazilah.

Sebahagian daripada mereka bersusah-payah membuktikan ilmu sifat 20 sebagai ilmu aqidah Mu’tazilah dan Imam al-As’hari telah bertaubat daripada ilmu kalam versi Ash’ari sedangkan mereka sekadar mewakili aliran pemikiran Muhammad Abdul Wahab, dalam masa yang sama, para ulama’ Asha’irah pula mempunyai sanad keilmuan yang jelas bersambung kepada Imam al-Ash’ari, yang mana mereka mewarisi secara jelas kaedah aqidah Imam al-Ash’ari yang terakhir.

Lalu, guru kami Dr. Usamah Sayyid al-Azhari menjelaskan bahawa, para ulama’ Islam sudah banyak membuang masa untuk melawan golongan ini, dengan menjawab setiap isu yang mereka bangkitkan, sedangkan ia tanpa asas yang sahih sama sekali. Akhirnya, umat Islam terutamanya golongan Sunni agak ketinggalan dalam bidang aqliyyah dan pemikiran ini berbanding masyarakat Barat dan sebagainya.

Kesan Kemunduran Bidang Aqliyyah Islam dalam Masyarakat Islam

Hasil daripada itu, maka golongan Liberalis dalam masyarakat Islam mula menonjolkan diri sebagai juara dalam bidang pemikiran ini. Mereka yang belajar dari dunia Barat mendabik dada di hadapan para ulama’ Islam seolah-olah mereka ‘lebih pintar’ dan pandai berfikir berbanding para ulama’ yang dianggap ketinggalan zaman, jumud dan sebagainya.

Fenomena ini tidak muncul tanpa sebab, kerana ramai ilmuwan Islam atau ustaz-ustaz lahir daripada pusat pengajian ilmu agama yang tidak menekankan bidang Aqliyyah ini. Mereka tidak pernah mengenali ilmu Mantik, ilmu Kalam, al-Falsafah al-Islamiyyah dan sebagainya, bahkan sebahagian daripada mereka memusuhi pula ilmu-ilmu tersebut, samada hasil kejahilan mengenai ilmu tersebut, terpengaruh dengan fahaman pengaku Salafi ini, ataupun kedua-duanya sekali.

Mereka hanya mengenali ilmu aqidah Islam versi Ibn Taimiyyah iaitu berteraskan pembahagian tauhid kepada Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ wa al-Sifat yang akhirnya mereka dakwa ianya sebagai aqidah Salaf. Mereka dengan itu juga menyerang ilmu kalam versi Al-Ash’ari kerana mengandungi kaedah-kaedah logikal yang mereka tidak fahami atau mereka tidak mahu fahami secara sahih. Lalu, golongan inilah yang menonjol dan diketengahkan dalam masyarakat Islam sehingga mereka gagal memahami isu-isu berkaitan pemikiran secara baik lalu menjadi sasaran bagi golongan Liberalis menunjuk belang mereka.

Cabaran bidang pemikiran adalah antara cabaran paling besar dalam dunia moden ini, ketika masyarakat dunia sebagai satu masyarakat global dan perhubungan sesama mereka tanpa sempadan. Jika suatu ketika dahulu golongan Mu’tazilah tidak mudah menyebarkan pengaruh pemikiran mereka kerana para ulama’ ahli sunnah sangat hebat dalam penghujahan akal, namun pada masa kini, ketika bidang aqliyyah sudah tidak lagi popular dalam pembelajaran khususnya aliran bidang agama, maka golongan Liberal berjaya menyebarkan pengaruh pemikiran mereka, bahkan sebahagiannya atas nama agama dan dalam bidang keagamaan.

Penyebaran Idea dan Nilai

Media massa dan elektronik menjadi medium penyebaran risalah atau mesej yang sangat baik. Di era globalisasi ini, idea apa pun mudah tersebar bahkan memberi kesan yang sangat dahsyat. Pepatah arab ada mengatakan bahawa, bagi setiap ciciran itu ada yang mengutipnya. Maka, apapun idea samada baik ataupun buruk, ianya pasti ada yang mengikutinya.

Oleh sebab itulah, menurut guru kami Prof Dr. Wan Muhammad bahawasanya, setiap orang yang tahu perkara yang betul perlu berkata atau menyampaikan perkataan tersebut, kerana pada masa ini, jika kita tidak menyampaikannya, maka mereka yang memperjuangkan kesalahan yang akan menyampaikan perkataan mereka. Sudah pastilah, perkataan beliau merujuk kepada mereka yang ahli dalam apa yang ingin disampaikan tersebut.

Filem-filem dari Barat antara contoh, ada di antaranya terlalu ringkas teknik persembahannya, tetapi mesejnya sangat mendalam dan ideanya sangat baik untuk difikirkan. Tidak dinafikan, sebahagian mesej mempunyai nilai yang negatif, tetapi diolah dan disampaikan dengan jalan cerita yang kuat dan menarik. Antara nilai negatif terhadap agama Islam yang terkenal adalah Islamophobia, tetapi ketika disampaikan dalam bentuk penceritaan yang menarik sehingga sebahagian orang-orang Islam masih boleh ketawa dengan bahan tersebut.

Inilah salah satu contoh produk masyarakat “berfikir” yang dimaksudkan. Bukan dari sudut nilai yang kita fokuskan, tetapi dari sudut bagaimana mereka mempunyai idea daripada pemikiran yang kritis dan mereka menggunakan kreativiti mereka untuk menyampaikan idea-idea tersebut. Oleh sebab itulah, filem-filem Barat yang menggunakan modal pembelanjaan yang besar sekalipun, akan mengembalikan keuntungan yang berlipat ganda, walaupun dengan ancaman cetak rompak dan sebagainya, kerana karya-karya tersebut mempunyai nilai idea dan mesej yang dihargai oleh masyarakat mereka.

Ini suatu yang jelas kerana sesuatu karya itu dihargai lebih kerana nilai mesej atau idea yang disampaikan, bukan pada bentuk persembahannya semata-mata. Semakin utama, penting dan sejagat apa yang disampaikan, semakin ia dihargai dan diterima. Oleh sebab itulah, bidang pemikiran mempunyai kedudukannya yang tersendiri berbanding bidang teknikal dan praktikal.

Berbeza dengan dunia perfileman tempatan. Mereka yang terlibat merungut tentang cetak rompak dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama tidak mengkaji semula kualiti filem-filem mereka terutamanya dari sudut idea, mesej dan nilai yang cuba disampaikan. Jika karya tersebut berkualiti, sudah pasti akan dihargai oleh banyak pihak. Apa yang didapati, sebahagian filem kartun Barat lebih baik idea, mesej dan jalan cerita yang cuba disampaikan, berbanding kebanyakan filem tempatan.

Sebahagian filem-filem dari Iran juga mempunyai idea yang baik, walaupun masyarakat mereka beraliran Syiah. Ini kerana, golongan Syiah juga telah lama mengikut golongan Asha’irah dalam mengembangkan bidang pemikiran walaupun secara tempang.

Oleh sebab itulah, budaya berfikir dan berfalsafah ada nilainya tersendiri, terutamanya jika dipimpin dengan panduan Islam. Di samping kepentingan membendung idea-idea yang bertentangan dengan Islam dengan hujah logikal dan rasional, begitu juga mempromosikan nilai-nilai ajaran Islam yang benar dan sahih, dengan pendekatan-pendekatan yang lebih sejagat.

Al-Fathonah atu kecerdikan sendiri merupakan sifat-sifat yang wajib bagi para rasul, iaitu kebolehan mematahkan hujah mereka yang melawan kebenaran dan kebolehan berhujah dalam membuktikan kebenaran risalah yang disampaikan. Begitu juga dengan hikmah, iaitu gabungan antara kecerdasan akal fikiran dengan kemurnian hati rohani.

Penutup

Masyarakat yang cerdik berfikir atau memajukan bidang pemikiran dan tradisi berfikirnya dapat membangunkan bidang pengetahuan, membangunkan tamadun yang baik, bahkan di era globalisasi ini, akan menjadi pemimpin kepada masyarakat yang lain. Zaman ini adalah zaman yang sangat mencabar terutamanya dalam pertembungan bidang pemikiran ini, justeru kepentingan pembangunan bidang aqliyyah ini  lebih penting berbanding suatu masa dahulu.

Ilmu-ilmu berkaitan bidang ‘aqliyyah ini tersimpan dalam perbendaharaan keilmuan warisan para ulama’ silam, kerana tradisi ilmu di sisi mereka adalah holistik dan bersepadu. Dalam zaman perkembangan bidang ilmu moden (modern knowledge) yang dipengaruhi semangat Sekularisme dari Barat, golongan ilmuwan perlu juga menguasai ilmu-ilmu asas dalam pemikiran terutamanya ilmu kalam, iaitu ilmu aqidah yang menggabungkan pendekatan hujah akal dan dalil wahyu. Begitu juga, penguasaan terhadap ilmu mantik yang asas agar kita dekat dengan tradisi para ulama’ silam dan bidang ‘aqliyyah mereka.

Para ulama’ Islam juga perlu menyemarakkan perkembangan bidang aqliyyah ini terutamanya melakukan usaha mengetengahkan ilmu kalam dan sebagainya dalam masyarakat intelek. Bahkan, bidang falsafah dan aliran pemikiran (al-Thayyarat al-Fikriyyah) juga perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ianya menentukan hala tuju sesebuah masyarakat, kerana pemikiran menentukan tindakan seseorang, apatah lagi sesebuah tamadun manusia.

Wallahu a’lam





[1] Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, m/s: 90
[2] Ibid, m/s:  54
[3] Ibid, m/s: 70

9.24.2013

Nilai Sebuah Kebendaan...



Nilai Sebuah Kebendaan...

Kepada mereka yang terus menganggap material dan kebendaan adalah sumber kebahagiaan...fikir semula...

Seorang jutawan datang kepada seorang imam di masjid mengadu masalah kecurangan isterinya. Dia ada jutaan ringgit namun masih tidak dapat membeli kesetiaan seorang isteri. Malah, dengan segala harta yang dibelanjakan kepada isterinya, malah harta itu juga menjadi jambatan kecurangan isteri tersebut.

Seorang ibu hartawan datang juga mengadu masalah kedegilan dan kebiadaban anak-anaknya kepada ibu bapa. Dia ada jutaan ringgit tetapi tidak mampu membeli kasih sayang, penghormatan dan kepatuhan anak-anaknya. Malah, dengan segala harta yang diberikan kepada anak-anak, malah menjadi laluan kepada kedegilan dan kebiadaban anak-anak tersebut.

Seorang anak jutawan juga mengadu masalah, tiada perhatian ibu ayah, tiada keakraban kekeluargaan daripada mereka dan lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu sendiri. Dia juga mewarisi harta daripada kedua ibu bapanya yang kaya, tetapi tidak mampu membeli perhatian, kekeluargaan dan hubungan baik daripada ibu bapa yang sibuk di luar rumah.

Miskin atau kaya, semua orang memang ada masalah dan sentiasa menghadapinya. Tetapi, di manakah kelebihan kebendaan dan kekayaan, jika ia sekalipun tidak mampu menyelesaikan masalah asasi dalam kehidupan? Apa yang dikejar oleh mereka yang mengejar kebendaan ketika kebahagiaan bermula dari dalaman?

Salah Arah

Kita menuju ke suatu destinasi yang pasti, iaitu kepada Tuhan. Semua orang tahu, samada setuju ataupun tidak, betapa kehidupan manusia ini sementara sahaja di dunia, sedang dia sedang menuju kematian yang entah bila akan menjelma. Semua orang sedang menuju kematian, walaupun ramai dalam kalangan manusia yang masih menjalani kehidupan seolah-olah usianya semakin bertambah.

Kehidupan kita menuju ke suatu arah, sedang minda kita menuju ke suatu arah yang bertentangan. Ramai orang ketika mudanya berusaha mengumpul 'harta' untuk dinikmati ketika waktu tuanya, sedangkan ramai dari kalangan mereka tidak sempat sampai waktu tua tersebut. Bahkan, ramai pula yang sampai waktu tua, tetapi tidak dapat menikmati apa yang diinginkan daripada harta yang dikumpulkan.

Akhirnya, mereka terbaring melihat anak cucu mereka menikmati harta benda hasil titik peluh mereka. Sedang mereka yang ketika mudanya mempunyai impian setinggi gunung, sekadar melihat debu berterbangan di udara. Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan bahawa, apa yang menjadi harta kita ialah ap yang kita belanjakan pada jalan Allah, iaitu dalam tujuan ibadah, sedangkan apa yang kita simpan, sampai masanya akan menjadi harta ahli waris kita.

Rasa Cukup (Qana'ah) Sebenarnya yang Tidak Cukup

Manusia itu tamak mengejar dan bosan memiliki. Tetapi, sesuatu yang belum dimiliki ada nilainya yang palsu, lalu manusia terus mengejarnya. Mereka mengejar dan suka mengejar. Sampai satu masa, rupa-rupanya mereka sudah di dalam kubur, dalam masa yang sama, meninggalkan apa yang mereka miliki dan apa yang mereka kejar, di luar kubur.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya. Sehinggalah kamu masuk kubur." (Surah al-Takasur: 1-2)

Seekor anjing itu terus mengejar apa yang dibaling oleh tuannya, lalu memulangkannya semula untuk tuan tersebut membalingnya semula, lalu ia mengejarnya. Begitulah seterusnya dan selalunya. Rutin manusia ialah mengejar kerana dorongannya ialah nafsu. Ketika rumah kosong, dibeli segala perabot dan perkakas rumah sehingga penuh. Namun setelah penuh, ketika lihat perabot dan perkakas rumah lain, rasa dorongan entah dari mana (sebenarnya dari nafsu semata-mata), maka dibeli lagi perabot dan perkakas tersebut.

Rupa-rupanya, rumah dah penuh dengan perhiasan. Maka, dibuang "perhiasan-perhiasan" rumah yang pernah dia bernafsu membelinya, begitu sahaja, untuk diganti dengan perhiasan-perhiasan baharu. Sebagaimana kanak-kanak mudah bosan dengan permainan yang telah mereka miliki, begitu juga mereka yang mengaku dewasa, masih membesar umur dalam jiwa kebudak-budakan.

Apa yang tidak cukup dalam kehidupan ini? Banyak yang Allah SWT telah beri yang kita tidak minta, tetapi memang kita perlukan, berbanding apa yang kita tidak dapat daripada apa yang kita minta, walaupun kebanyakannya tidak diperlukan. Rasa cukup (qana'ah)... Itu sebenarnya yang tidak cukup dalam hidup kita. Banyak kita tidak dapat kerana banyak kita nak. Kalau kita kurangkan keinginan, kita akan dapati banyak yang telah kita dapat berbanding yang tidak dapat. 

Malang juga ketika kita makin dewasa, hidup kita semakin menuju kesudahan, kita risau terhadap banyak yang kita belum dapat, sedangkan hari-hari yang telah lalu menjadi saksi betapa sudah banyak kita dapat. Allah SWT terus memberi mengikut kehendak-Nya, sebagaimana Dia tidak memberi mengikut kehendak-Nya, tanpa mengikut kehendak sesiapa selain-Nya. Kita yang keliru lalu menyangka kita pernah dapat apa yang kita nak, kemudian terus nak apa yang kita belum dapat, sedangkan kita hanya dapat apa yang Allah kehendaki untuk berikan kepada kita. Itu sahaja. Ia bukan tentang kehendak kita, tetapi kehendak-Nya.

Makna Kehambaan yang Hilang

Bukan kebendaan dan material isunya. Tetapi, kehambaan yang hilang itu masalahnya. Seseorang yang menjalani kehidupan dengan makna kehambaan kepada Tuhan akan bahagia, samada miskin ataupun kaya. Kita hidup menuju Allah SWT, sebagaimana kita berasal daripada-Nya. Maka, kehambaan kita kepada-Nya adalah suatu yang hakiki.

Jika kita tunaikan makna kehambaan ini, kita akan menghadapi hidup secara realistik dan menikmati apa yang hakiki sebagai hakiki. Jiwa manusia, baik di kelilingi oleh harta, atau dibebani cinta harta, justeru letih dengan kepalsuan. Kekayaan bukan punca bahagian sebagaimana kemiskinan juga bukan punca derita. Rasulullah SAW memilih untuk hidup dalam kemiskinan sedang Baginda SAW ialah manusia paling bahagia di dunia. 

Qarun pula ketika mengaku harta yang di tangannya adalah daripada kebijaksanaan sendiri, lalu menderita dengan kekayaannya. Seorang insan justeru ada batasannya. Dia tidak akan keluar daripada hakikat kehambaan, samada dia memuliakan dirinya dengan menunaikan kehambaan kepada Allah SWT, ataupun dia menjadi hina dengan menjadi hamba kepada diri (nafsu) sendiri.

Memang tidak mudah menjadi hamba Allah yang baik lagi taat. Tetapi, ramai dari kalangan kita sudah terlalu banyak membuang masa dengan menjadi hamba kepada diri sendiri, sedangkan menjadi hamba kepada Allah SWT adalah jalan menuju bahagia. Kata orang, masa sudah tidak ada masa untuk buang masa dengan kita. Setiap detik yang dilalui tidak berganti dan setiap yang lalu menunjukkan usia kita semakin berkurangan di sebalik jumlah umur yang bertambah.

Usia kita terbatas. Kekuatan kita juga terbatas. Ilmu kita juga terbatas. Dalam pada itu, kehendak kita pula yang tidak terbatas. Semua benda kita nak, dan semua yang kita nak, kita pastikan dapat. Setalah dapat, bosan dan nak terus nak lagi. Mengapa dengan semua keterbatasan ini, kita tidak membataskan kehendak kita, iaitu mencari satu arah yang membawa kepada kebahagiaan yang tidak terbatas, iaitu yang bersambung ke akhirat.

Qana'ah (rasa cukup) itu rehat sedang tamak itu gila. Tamak itu: nak lagi...lagi...lagi dan lagi. Perkataan "lagi" kalau sebut berulang kali dan secara laju, tidak ada bezanya dengan "gila". Sehingga akhirnya, kita pun keliru, yang kita sebut sebenarnya ialah "lagi" atau "gila". Kalau tidak percaya, anda boleh cuba.

Wallahu a'lam