Pendekatan
Dakwah dan Islah Golongan Sufi
Golongan sufi
terlibat dalam bidang dakwah dan islah (pemurnian) dalam masyarakat
Islam dalam tempoh masa yang lama. Bahkan, berdasarkan catatan sejarah, dakwah
golongan sufi dan tarbiah mereka merupakan antara dakwah yang terawal dalam
bentuk berkelompok dan masih bertahan sehingga hari ini.
Sejak ianya
dikembangkan di zaman salaf oleh tokoh-tokoh sufi terkemuka seperti Imam
al-Hasan al-Bashri r.a., Imam Zun Nun al-Misri r.a., Imam al-Saqathi r.a., Imam
Junaid al-Baghdadi r.a. dan sebagainya, sehinggalah membentuk tarbiah
berkelompok dalam skala yang lebih besar yang dikenali sebagai tarikat sufi
yang dipelopori oleh para murobbi sufi terkemuka seperti Imam `Abd al-Qadir
al-Jailani r.a., Imam Abu al-Hasan al-Syazuli r.a., Imam Baha’uddin
al-Naqsyabandi r.a., Imam Ahmad al-Rifa’ie r.a. dan sebagainya, dakwah dan
tarbiah golongan sufi terus mendapat tempat dalam masyarakat Islam walaupun
sering mendapat tohmahan daripada musuh-musuh luaran mahupun sabotaj daripada musuh-musuh
dalaman.
Sudah pasti,
dakwah dan tarbiah golongan sufi mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang
menyebabkan ianya terus subur berkembang dalam masyarakat sehinggalah hari ini,
bahkan dinilai sebagai gerakan dakwah yang paling lama dalam sejarah masyarakat
Islam.
Antara
pendekatan dakwah yang digunakan oleh para murobbi sufi secara umum adalah:-
Pertama:
Majlis Ta’lim dan Zikir
Majlis Ta’lim
dan Zikir di masjid-masjid, musolla-musolla, sahah (dewan) atau zawiyyah.
Majlis ta’lim (pengajian ilmu) dan zikir berkelompok ini selalunya
dipimpin oleh para ulama’ sufi yang mempunyai kelayakan dan seterusnya izin
dalam tadris (mengajar) dan tarbiah sebagaimana ianya diketahui
dalam tradisi ulama’ Islam. Selalunya, masyarakat awam akan menghadiri
majlis-majlis pengajian ilmu-ilmu agama seterusnya mengikuti majlis zikir
setelah pengajian tersebut lalu akhirnya bersahabat dengan murobbi sufi
tersebut.
Pendekatan ini
merupakan pendekatan kebanyakan para ulama’ sufi di zaman As-Salaf As-Sholeh
di mana mereka mempunyai dua majlis iaitu majlis ilmu dan majlis tarbiah
sebagaimana dilakukan oleh Imam Junaid Al-Baghdadi. Kemudian, ianya
dikembangkan oleh Imam Abdul Qadir Al-Jailani sehingga seterusnya berkembang
dalam madrasah-madrasah tarbiah sufi yang dikenali sebagai tarikat sufi.
Kedua: Majlis Maulid dan Haul
Majlis Maulid
dan Haul: Ia merupakan suatu pendekatan dakwah yang digunakan oleh
para murobbi sufi dalam mendekatkan masyarakat kepada Rasulullah shollallahu
‘alaihi wasallam, ahli keluarga Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam,
para sahabat r.a. dan para ulama’ besar. Majlis maulid secara khusus
adalah majlis memperingati kelahiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam
di mana di dalam majlis tersebut mengandungi bacaan Al-Qur’an, puji-pujian
kepada Allah s.w.t.., bacaan selawat dan puji-pujian kepada Rasulullah shollallahu
‘alaihi wasallam, bacaan sirah nabawiyyah dan jamuan makanan yang mana
pengisian tersebut mempunyai sandarannya daripada nas-nas syarak.
Adapun Haul
pula adalah majlis yang dilakukan untuk memperingati ulang tahun pemergian
seseorang tokoh ulama’ yang besar dalam usaha untuk mengikut dan mencontohi
teladan yang baik daripada kehidupan ulama’ tersebut. Sebagaimana disebutkan,
ketika diingati orang-orang soleh, maka turunlah rahmat.
Majlis-majlis
sebegini mempunyai kekuatan dalam menyatukan umat Islam sehingga menjangkau
batasan budaya, bangsa, perbezaan taraf hidup, perbezaan pendirian dan fahaman
politik, perbezaan mazhab dan sebagainya. Kesimpulannya, boleh didapati
majlis-majlis Maulid dapat menghimpun ramai manusia yang mempunyai
seribu satu latar perbezaan. Sekerap mana majlis-majlis sebegini dilakukan,
maka sekerap itulah ramai masyarakat Islam berhimpun secara harmoni atas
semangat kasih sayang sehingga menyemai sifat persaudaraan dalam jiwa mereka yang
hadir. Maka, para ulama’ dan ilmuwan yang menyampaikan tazkirah, syarahan dan
nasihat boleh menyampaikannya secara lebih meluas.
Majlis yang
diisi dengan pengisian mahabbah (kasih sayang) sebegini semestinya mampu
menghidupkan jiwa yang telah ketandusan makna hubungan kepada Allah s.w.t. dan
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Haruman rohani ukhuwwah
tersebar dalam para hadirin lalu membuatkan mereka menghayati rasa kebersamaan
sebagai Al-Ummah di bawah payung kecintaan Rasulullah shollallahu
‘alaihi wasallam.
Ketiga:
Suhbah
Antara
pendekatan dakwah para ulama’ sufi adalah dengan menyemarakkan budaya suhbah
sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam
sesama para sahabat r.a.. Suhbah bukan sekadar hubungan antara ketua
dengan pengikutnya, tetapi ia lebih berbentuk persahabatan antara dua teman
yang diikat oleh kasih kerana Allah s.w.t.. Intipati konsep suhbah yang
utama adalah di mana seseorang murobbi akan berinteraksi dengan para murid
melalui kehidupan mereka di samping para murid akan masuk ke dalam ruang hidup
murobbinya, sebagaimana Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam memasuki
kehidupan para sahabat r.a. dan para sahabat r.a. juga menghampiri kehidupan
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam lalu menjadikan Baginda shollallahu
‘alaihi wasallam sebagai qudwah (contoh) dalam menjalani hidup
masing-masing.
Pendekatan Suhbah
adalah pendekatan yang membuang sempadan protokol dan sebagainya antara seorang
yang memimpin dengan mereka yang memimpin. Hanya, murid-murid diajarkan konsep
adab kepada murobbi dalam interaksi mereka kepadanya sebagaimana para murobbi
juga berpegang teguh dengan adab-adab sebagai murobbi dalam berinteraksi dengan
murid-muridnya. Dalam konsep Suhbah inilah
tersematnya konsep qudwah di mana para murid boleh menyaksikan bagaimana
murobbi mempraktikkan ajaran Islam dan penyucian jiwa sebaiknya dalam
kehidupannya lalu mereka berusaha untuk mempraktikkanya dalam kehidupan mereka
sebaiknya.
Demikianlah
antara keistimewaan bentuk dakwah dan tarbiah golongan sufi secara umum, di
samping beberapa bentuk yang lain yang lebih khusus dan cabang. Ini menunjukkan
bahawasanya, golongan sufi mempunyai kaedah yang tersendiri dalam berdakwah dan
memperbaiki kepincangan dalam masyarakat Islam sejak zaman-berzaman. Sejarah
telah menyaksikan siri kejayaan dakwah dan tarbiah mereka sebagaimana
dicatatkan oleh para ulama’ muktabar melalui tinta emas mereka.
Ini
menunjukkan betapa dakwah sufi dan tarbiah mereka perlu terus dipelihara dan
dikembangkan sesuai dengan perkembangan semasa agar ianya terus menjadi bentuk
dakwah yang baik dalam masyarakat Islam. Memang sejak dari dulu lagi, golongan
sufi dicemburui oleh mereka yang mencemburui mereka dan diserang oleh
orang-orang yang jahil, natijah menghukum perkara-perkara yang tidak ada kaitan
dengan manhaj sufi muktabar, atau dek kerana kekurangan ilmu mereka, maka
hendaklah kefahaman tentang dakwah dan manhaj sufi ini terus diketengahkan
secara jelas dan sahih dalam masyarakat Islam. Sesungguhnya, manusia itu
memusuhi apa yang dia jahil mengenainya. Wallahu a’lam.
Al-Faqir ila
Rabbihi Al-Lathif
Raja Ahmad
Mukhlis bin Raja Jamaludin
‘Amalahullahu
bi Lutfihi al-Khafiy
No comments:
Post a Comment